MITI muktamadkan NCM tahun depan

7 hours ago 7

RAWANG – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhasrat untuk memuktamadkan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) bagi industri automotif pada tahun hadapan dalam usaha memperkukuh keupayaan industri tempatan dan membangunkan rantaian bekalan negara.

NCM merupakan rangka kerja dasar automotif terbaharu yang mengubah cara pemberian insentif bagi industri automotif di Malaysia dengan menyasarkan struktur lebih telus, adil, dan berpandukan pencapaian berbanding sistem lama yang bersifat tertutup serta memerlukan rundingan khas.

Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mekanisme tersebut kini sedang dirombak semula dengan melibatkan agensi kerajaan dan pemain-pemain industri supaya ia lebih ringkas dan mudah difahami.

“Kita perlu pastikan ia lebih ringkas, tak boleh sekiranya orang pun tak reti nak kira. (Contohnya) macam mana nak kira duti eksais, kalau bawa masuk komponen ini, berapa banyak duti eksais yang dapat dijimatkan?

“Kita tengah bincang, kalau boleh kita sasarkan tahun depan kita mahu laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran MCE Auto Hub di sini, hari ini.

JOHARI menjawab soalan pemberita berkaitan perkembangan industri automotif tempatan.

Menurut Johari, industri automotif menjadi pemacu utama pembangunan perindustrian negara dengan kira-kira 730 vendor automotif khusus menyokong ekosistem yang menggaji lebih daripada 700,000 pekerja dan menyumbang RM84 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

Pada masa sama, defisit perdagangan Malaysia dalam kenderaan bermotor serta alat ganti dan komponen telah melebar dengan ketara, daripada RM13 bilion pada tahun 2020 kepada RM33.8 bilion pada 2025.

Ia berlaku ketika landskap automotif telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong terutamanya oleh kemunculan pengeluar kereta dan kenderaan elektrik (EV) dari China.

“Tanpa tindak balas yang strategik dan berpandangan jauh, terdapat risiko sebenar bahawa import boleh terus menguasai pasaran dan menambah tekanan yang semakin meningkat ke atas ekosistem pembekal domestik kita.

“NCM menyasarkan bertujuan untuk menggalakkan penyetempatan teknologi kritikal, yang mana nilai terbesar dalam industri automotif masa hadapan terletak pada komponen kritikal seperti reka bentuk dan kejuruteraan, perisian, elektronik, teknologi bateri, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dan penyelesaian mobiliti pintar.

“Inilah keupayaan yang ingin dipupuk oleh Malaysia,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |