Misi GSF 2.0 catat 40 hari pelayaran, termaktub dalam sejarah kemanusiaan

2 hours ago 2

SEPANG- Misi pelayaran Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dengan rekod 960 jam atau 40 hari pelayaran merentasi Laut Mediterranean disifatkan berjaya mencatat sejarah baharu kemanusiaan sebagai satu usaha kolektif dunia yang jelas bagi memecahkan kepungan serta menghantar bantuan kecemasan kepada Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi itu bukan sahaja diiktiraf bahkan berjaya memicu kemarahan global saat regim penjajah bertindak seperti lanun dan penyamun di zon milik antarabangsa.

Menurut beliau, GSF 2.0 juga telah mencipta satu gelombang solidariti antarabangsa yang luar biasa dalam sejarah perjuangan kemanusiaan moden apabila berjaya menghimpunkan pelbagai anggota masyarakat daripada lebih 40 negara.

“Misi kemanusiaan ini bukan sahaja berjaya mengangkat suara rakyat dunia untuk Gaza, malah telah melondehkan jenayah serta pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh rejim Israel.

“Ia dibuat melalui rakaman langsung, dokumentasi visual dan pendedahan terbuka kepada masyarakat dunia berhubung tindakan serangan, penculikan dan rampasan bantuan kemanusiaan yang berlaku di perairan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Kepulangan Aktivis GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, malam tadi.

Jelasnya, insiden pintasan terhadap flotila kemanusiaan itu telah mencetuskan tekanan geopolitik antarabangsa apabila lebih 10 negara iaitu Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia, Portugal dan Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam tindakan rejim Israel.

Katanya, antarabangsa seperti Organisation of Islamic Cooperation (OIC), United Nation (UN), European Union (EU) turut berbuat tindakan sama.

Katanya lagi, gelombang kebangkitan dunia terhadap insiden ini juga bukan sekadar terhad kepada kecaman, malah turut disusuli tekanan antarabangsa melalui tindakan diplomatik, ancaman sekatan ekonomi, tindakan perundangan, pengeluaran waran, nota diplomatik, mobilisasi rakyat serta demonstrasi
besar-besaran di pelbagai negara.

“Tekanan ini turut diperkuat dengan campur tangan organisasi antarabangsa, badan hak asasi manusia dunia serta negara-negara termasuk Eropah dan Turkiye yang mendesak agar seluruh tahanan dibebaskan segera tanpa syarat dan pencabulan terhadap misi kemanusiaan dihentikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |