KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meluahkan rasa terkilan selepas sembilan aktivisnya direman ketika menjalankan misi menyelamat seorang pelancong warga China yang didakwa dikurung dan didera oleh sindiket di Genting Highlands bulan lalu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya ingin menjelaskan kronologi kejadian selepas timbul pelbagai tohmahan yang mengaitkan aktivis pertubuhan itu dengan jenayah samun dan kekerasan.
Menurutnya, pihaknya menerima aduan mengenai seorang lelaki warga China berusia 39 tahun yang didakwa dikurung secara salah dan dipukul oleh sekumpulan individu dipercayai berkaitan sindiket Along di sebuah kondominium di Genting Highlands.
Katanya, beberapa rakaman video yang diterima turut menunjukkan mangsa dipukul dan diseksa sehingga mendorong sekumpulan aktivis MHO ke lokasi bagi mengesahkan maklumat tersebut.
“Apabila pintu dibuka, mangsa terus menjerit meminta pertolongan. Jika tidak diselamatkan ketika itu, kami bimbang perkara lebih buruk berlaku kerana dia dipukul dengan begitu teruk,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, Megan Avenue, di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Polis Genting Highlands untuk membuat laporan polis, namun aktivis MHO yang terlibat dalam operasi itu pula ditahan selepas tiga individu yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan membuat laporan balas mendakwa mereka disamun dan dipukul.
Sementara itu, penasihat undang-undang MHO, Muhammad Falaq berkata, dia turut ditahan reman walaupun hadir sebagai peguam yang mengiringi mangsa dan aktivis terbabit ke balai polis.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan MHO yang berjaya menyelamatkan mangsa dan penghargaan kepada pihak polis kerana menahan suspek. Cuma saya terkejut apabila saya sendiri turut direman sekali,” katanya.
Menurutnya, reman pertama terhadap kesemua individu terbabit dibenarkan selama dua hari oleh mahkamah selepas mereka dibawa untuk siasatan pada keesokan harinya.
Hishamuddin berkata, pihaknya menghormati kuasa siasatan polis, namun berpendapat tindakan mereman kesemua aktivis termasuk peguam yang hadir membantu mangsa adalah kurang wajar.
“Aduan ini dibuat oleh pihak kami. Kami yang hubungi polis, kami yang bawa mangsa ke balai dan kami yang serahkan bahan bukti. Sebab itu kami agak terkilan apabila direman,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan MHO tidak mempunyai sebarang masalah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha membanteras sindiket jenayah di negara ini. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
8















![[VIDEO] Cemas zink melayang dalam pusaran angin](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/usaran-angin.jpeg)






























