MHO bukan pertubuhan ‘anti-establishment’ – Hishamuddin

11 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Tanggapan segelintir pihak mendakwa terdapat konflik antara aktivis yang membantu mangsa jenayah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan reman sembilan individu baru-baru ini, disifatkan sebagai tidak berasas.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menegaskan, pihaknya bukan sebuah pertubuhan ‘anti-establishment’, sebaliknya sentiasa bekerjasama rapat dengan PDRM dalam usaha membanteras kegiatan sindiket jenayah di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pertubuhan itu tidak pernah berniat menyerang atau memburukkan imej pasukan polis, malah selama ini berperanan menyalurkan maklumat serta membantu siasatan pihak berkuasa.

Menurutnya, sidang akhbar yang diadakan hari ini hanya bertujuan menjawab pelbagai tohmahan terhadap aktivis MHO yang terlibat dalam operasi menyelamat seorang pelancong warga China di Genting Highlands.

Katanya, MHO turut membantu pihak berkuasa dalam pelbagai kes membabitkan sindiket penipuan, pemerdagangan manusia dan kegiatan along.

“Jangan disalahtafsirkan oleh mana-mana pihak seolah-olah MHO ada masalah dengan PDRM. Itu tidak benar. MHO mahu melengkapkan dan membantu PDRM menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, Megan Avenue, di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada penahanan reman aktivis MHO mempunyai kaitan dengan beberapa pendedahan terdahulu yang dibuat pertubuhan itu berhubung kegiatan Along.

“Kami agensi yang mempunyai keterbatasan kuasa siasatan. Kami hanya membuat aduan dan menyerahkan maklumat yang ada kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, MHO berharap hubungan kerjasama antara pertubuhan itu dan PDRM dapat diperkukuhkan demi memastikan lebih banyak sindiket jenayah dapat dibanteras pada masa depan.

“Kita bukan anti-establishment. Matlamat kita sama iaitu mahu sindiket Along, scammer dan kumpulan jenayah lain pupus dari bumi Malaysia,” katanya.

Terdahulu, sembilan aktivis MHO termasuk seorang peguam direman selepas mereka membawa seorang pelancong warga China yang didakwa dikurung dan didera ke Balai Polis Genting Highlands untuk membuat laporan polis.

Penahanan itu dibuat susulan laporan balas oleh tiga individu yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan sebelum laporan tersebut kemudiannya ditarik balik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |