Menderita kanser saraf pada usia muda

2 days ago 7

ALOR SETAR – Seorang remaja terpaksa melupakan untuk me­nunaikan ibadah puasa serta solat tarawih pada Ramadan baru-baru ini selepas didiagnosis menghidap rhabdomyosarcoma atau kanser tumor tisu lembut pada Ogos tahun lalu.

Seperti selalunya, Muhammad Irsyad Azim Baharin, 16, teringin menunaikan ibadah puasa, namun keadaan tubuhnya yang lemah akibat rawatan kimoterapi menyukarkan dia untuk ber­puasa atau solat tarawih bersama keluarganya seperti tahun-tahun sebelum ini.

Ibunya, Rohani Man, 57, berkata, anaknya itu tetap mempunyai semangat juang yang kuat untuk melawan kanser yang menyerang tangan kirinya itu.

“Ramadan dan Aidilfitri ini sangat menyedihkan kami, namun kami reda.

“Apa yang sangat menyedihkan apabila melihat Azim yang masih muda terpaksa berjuang dan hilang kegembiraan Ramadan dan Aidilfitri untuknya tahun ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Gelam Tiga Bukit Besar, di sini baru-baru ini.

Kata suri rumah itu, Muhammad Irsyad Azim dikesan menghidap kanser tersebut setelah tangan kirinya bengkak dan mempunyai ketulan.

“Azim tidak pernah beritahu kami bahawa ada kelenjar bawah ketiaknya sehingga lengan kiri­nya itu bengkak. Kami bawa pergi Hospital Pulau Pinang tahun lalu dan disahkan menghidap kanser berkaitan saraf itu.

“Dia terpaksa buat sembilan pusingan kimoterapi sejak September 2024 dan sekarang tinggal satu lagi. Selepas ini radiologi pula. Alhamdulillah bengkak tangannya sudah hilang, namun separuh tangan kirinya jadi lumpuh,” katanya.

Ujarnya, walaupun tidak dapat menunaikan ibadah puasa dan merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri sepenuhnya, anak bongsu daripada empat beradik itu tetap menunjukkan sikap tabah dan semangat untuk pulih.

“Dia selalu cakap tahun depan dia akan sembuh seperti biasa dan menikmati Ramadan, Aidilfitri dengan lebih baik.

“Alhamdulillah sepanjang buat kimoterapi pun dia sihat sahaja tidak demam ke apa. Semangat untuk sembuh dia kuat,” katanya.

Katanya, dia dan suami, Baharin Saad, 55, cuma bekerja kampung dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Dalam pada itu, Muhammad Irsyad Azim berkata, dia berharap untuk sembuh setelah membuat rawatan kelak dan banyak berdoa berpeluang me­nyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan tahun hadapan.

Orang ramai yang ingin me­nyumbang untuk meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian di akaun Bank Islam Rohani Man, 0208-4020-2193-13.

Read Entire Article
Pertanian | | | |