‘Menang kena kecam, apatah lagi kalau kalah’

8 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Menjelang pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), penyanyi Aina Abdul mengakui dirinya kini berada dalam fasa lebih matang apabila tidak lagi terbeban dengan tekanan kemenangan.

Ujar Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, kecaman netizen bukan sesuatu asing buat dirinya, malah sudah menjadi ‘asam garam’ sepanjang bergelar anak seni.

“Suka hati mereka lah mahu cakap apa. Tak kisah. Bagi saya, menang pun orang kecam. Tak menang, lagilah orang kecam.

“Yang penting lagu saya layak dan saya dapat menyanyi di pentas itu,” katanya kepada Kosmo! Online .

Tambah pelantun lagu Berjauh-an itu, fokus utamanya kini hanya mahu memberikan persembahan terbaik tanpa terlalu memikirkan soal keputusan.

“Kita cuma cuba buat yang terbaik malam itu. Vokal kena berada dalam keadaan terbaik, premium.

“Saya juga sedang buat persiapan supaya tidak terlalu menggunakan suara. Setiap pertandingan, saya belajar semula teknik vokal supaya lebih lancar,” ujarnya pada pelancaran single terbaharunya berjudul Sadis, di sini, hari ini.

Berbeza dengan penyertaan sebelum ini, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu mengakui kali ini dia hadir dengan jiwa lebih tenang tanpa meletakkan harapan tinggi untuk bergelar juara.

Katanya, ketenangan tersebut juga hadir selepas melalui pelbagai pengalaman dan kejayaan sepanjang karier seni.

“Sebelum ini mungkin ada keinginan nak menang. Kita manusia, mestilah ada rasa itu tapi kali ini saya masuk bukan semata-mata untuk bertanding sebab itu saya rasa lebih smatau.

“Perbincangan dengan pasukan pun tidak terlalu tegang. Alhamdulillah, itu semua rezeki tapi saya tahu sekarang ramai bakat baharu yang hebat dan agresif.

“Jadi saya hanya mahu meraikan pentas itu dan buat yang terbaik tanpa tekanan,” jelasnya.

Ditanya mengenai harapan peminat, Aina mengakui sokongan diberikan menjadi antara faktor utama dia terus bertahan dalam industri.

“Saya sangat gembira bila orang menantikan persembahan saya.

“Sejujurnya, lagu Kamu hampir tidak saya pertandingkan kerana takut tidak menang. Tapi akhirnya saya teruskan juga.

“Saya percaya ini untuk peminat. Mereka undi setiap minggu, jadi saya perlu lakukan ini untuk mereka juga,” ungkapnya.

Untuk rekod, Aina bakal berentap di pentas AJL40 pada Ogos depan menerusi lagu ciptaannya sendiri berjudul Kamu, sekali gus menandakan penyertaan ketujuhnya dalam pertandingan berprestij tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |