Mekanik eksploitasi motosikal pelanggan untuk lumba haram

1 day ago 6

SHAH ALAM – Tindakan dua mekanik menjadikan motosikal pelanggan yang telah diubahsuai secara ekstrem sebagai ‘senjata’ perlumbaan haram terbongkar apabila ditahan dalam operasi sekatan jalan raya di Plaza Tol Bukit Raja, kelmarin.

Kedua-dua lelaki termasuk warga Indonesia itu ditangkap secara berasingan dalam tempoh setengah jam bermula pukul 6.30 petang meskipun cuba meloloskan diri.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah mekanik motosikal yang terlibat dalam kerja pelarasan serta pengubahsuaian motosikal pelanggan.

Katanya, mereka kemudiannya dipercayai telah mengekploitasi jentera berkenaan dengan mengujinya disyaki dalam perlumbaan haram.

“Motosikal yang ditunggangi tersebut telah diubah suai secara ekstrem dengan kos melebihi RM8,000 termasuk ekzos selain dipercayai digunakan untuk aktiviti perlumbaan di jalan awam.

“Malah, kedua-dua motosikal berkenaan didapati lampu hadapan dan petunjuk arah tidak berfungsi selain tayar dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tegasnya, hasil pemeriksaan juga mendapati lesen kenderaan motor (LKM) telah tamat tempoh.

Namun katanya, mereka mendakwa tidak mengetahui perkara itu kerana motosikal terbabit adalah milik pelanggan.

“Semasa ditahan mereka kedua-dua penunggang tersebut dalam perjalanan ke

Pantai Remis, Jeram dari Klang dan Padang Jawa. Kedua-dua motosikal itu disita di Stesen Penguatkuasa Ijok untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Azrin berkata setiap hujung minggu, Pantai Remis menjadi tumpuan kumpulan penunggang motosikal dari pelbagai lokasi termasuk Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan Shah Alam.

“Berkunjung ke Pantai Remis tidak menjadi kesalahan, namun melakukan aksi berbahaya di jalan raya serta pengubahsuaian motosikal secara ekstrem adalah satu kesalahan serius.

“Malah ada yang sanggup bertindak berani

meredah palang tol semata-mata bagi mengelakkan SJR yang dilakukan di lorong motosikal” tegasnya.

Tambah beliau, kehadiran penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya sering menimbulkan kebimbangan dan ketakutan orang awam yang melalui kawasan tersebut.

“Setiap kali operasi dijalankan, ramai pengguna jalan raya berhenti dan meluahkan rasa ‘anxiety’ apabila menyaksikan aksi berbahaya, termasuk penunggang yang melakukan aksi superman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |