ADA prinsip dibina bertahun-tahun, namun takdir kadangkala hadir mengujinya dalam sekelip mata.
Begitulah lumrah anak seni, apabila garis sempadan yang pernah dilakar sendiri akhirnya terpaksa dipadam demi menyahut amanah sebuah naskhah.
Bukan soal mengejar populariti atau memilih jalan mudah, sebaliknya setiap keputusan tergantung bersama harga yang perlu dibayar.
Dalam dunia lakonan, ada watak menguji emosi, tidak kurang pula karya memaksa seseorang menewaskan ketakutan sendiri sebelum mampu menghidupkan karakter di hadapan kamera.
Itulah situasi dilalui pelakon Meerqeen apabila terpaksa mengetepikan prinsip yang dipegang selama ini demi membintangi drama seram, Dia Perempuan Sialan.
Pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam awalnya bertekad untuk tidak menerima sebarang naskhah bergenre seram sehingga adik bongsunya mencecah usia 10 tahun. Dia hanya mengetahui karya tersebut berkonsepkan seram ketika menghadiri sesi pembacaan skrip.
“Saya memang sudah menetapkan prinsip untuk tidak berlakon dalam karya bergenre seram sehingga adik saya berusia 10 tahun. Sekarang dia baru berusia lima tahun.
“Saya hanya tahu drama ini bergenre seram ketika sesi bacaan skrip bersama barisan pelakon lain. Saya sebenarnya tidak mahu berlaku perkara yang tidak diingini berlaku kepada adik saya.
“Bagaimanapun, bagi saya tanggungjawab tetap tanggungjawab. Mahu atau tidak, saya perlu melaksanakannya dengan penuh ikhlas,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran, finalis Hero Remaja edisi 2020 itu berkata, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, lebih-lebih lagi apabila beberapa babak dirakam di lokasi yang dianggap ‘keras’ berlokasikan Pulau Carey.
Ada ketika dia bersama kru produksi terpaksa bermalam di lokasi kerana penggambaran berlarutan sehingga awal pagi.
“Ada babak di Pulau Carey menyebabkan kami terpaksa bermalam dan penggambaran pula adakalanya berlarutan sehingga pagi.
“Saya ada adik kecil, jadi saya akan mandi dan membersihkan diri terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah.
“Saya percaya setiap orang di lokasi mempunyai doa masing-masing dan memohon perlindungan daripada Allah SWT bertugas,” ujarnya.
Meerqeen tidak berselindung mengakui dirinya seorang yang penakut, malah mengelak daripada menonton karya seram.
“Saya memang penakut. Sudah tentu watak ini sangat mencabar, tetapi setiap naskhah mempunyai cabaran tersendiri.
“Saya tidak pernah nampak hantu dan tidak pernah melalui pengalaman berdepan makhluk halus.
“Namun, saya pernah berdepan pelbagai ragam manusia. Sebab itu, pada saya manusia jauh lebih menakutkan kerana mereka mampu menyakiti kita secara nyata,” tuturnya.
Selain Meerqeen, Dia Perempuan Sialan ilham dan arahan Erma Fatima turut dibintangi Hannah Delisha, Caitlin Halderman serta barisan pelakon lain.
Drama tersebut dijadual menemui penonton secara eksklusif menerusi platform Viu bermula September depan.

15 hours ago
6

![[VIDEO] Kedutaan Itali mohon maaf, remaja biadab dalam tren di Thailand](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-25-at-21.49.25.jpeg)














































