KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia meneruskan tradisi menyantuni komuniti dengan aktiviti kemasyarakatan sempena bulan mulia ini menerusi Program Kongsi Rezeki Ramadan. .
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, program itu dijangka tampil lebih meriah pada tahun ini dengan menyasarkan kira-kira 400 masjid dan surau di seluruh negara.
Menurutnya, usaha ini selari dengan komitmen McDonald’s Malaysia untuk menjadi jiran yang prihatin dengan menawarkan program yang memberi impak yang positif termasuk menyemarakkan peranan masjid sebagai pusat ukhuwah dan keilmuan.
“Program Kongsi Rezeki Ramadan membawa makna yang besar kepada kami kerana ini adalah masa untuk McDonald’s Malaysia serlahkan tanggungjawab sebagai syarikat milik orang Islam kepada komuniti di sekitar lokasi restoran termasuk masjid dan surau.
“Program ini adalah sebahagian daripada masjid dan surau yang akan kami kunjungi bersama lebih 370 restoran kami di seluruh negara untuk menyemarakkan ibadah sepanjang bulan yang mulia ini, selari dengan tuntutan Ramadan untuk memberi dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, empat lokasi utama juga telah dipilih untuk menjalankan majlis ilmu antaranya adalah Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan pada 23 Februari lalu, menampilkan Timbalan Mufti Pahang Sahibus Saadah Datuk Badli Shah Alauddin.
Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam (5 Mac), menampilkan Al-Fadilah Ustazah Asma’ Harun, Masjid Al-Akram, Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada (11 Mac), menampilkan Syamsul Debat manakala Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya pada 14 Mac ini, menampilkan Amin Idris.
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Restoran McDonald’s Malaysia, Zaid Hasman berkata, Program Kongsi Rezeki Ramadan sudah menjadi tradisi syarikat itu sejak 2015.
“Inisiatif ini bukan sekadar acara tahunan, tapi tanggungjawab kami sebagai syarikat Muslim untuk memberi balik kepada komuniti,” jelasnya.
Menurut Zaid, bagi tahun ini, program telah dimulakan lebih awal sebelum Ramadan dan akan diakhiri dengan sambutan ambang Hari Raya Aidilfitri.
“Sebelum ini, kami telah turun ke Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan untuk bergotong-royong membersihkan masjid dan kubur.
“Di penghujung Ramadan nanti kami akan bersama-sama meraikan Pesta Pelita Panjut di Kuala Kangsar pada 25 Mac sebagai menghargai tradisi masyarakat tempatan dalam menyambut Aidilfitri,” katanya.

Zaid berkata, Masjid Al-Akram merupakan lokasi ketiga yang dikunjungi dalam siri Program Kongsi Rezeki Ramadan untuk mengimarahkan majlis ilmu.
Katanya, dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Food Bank, McDonald’s Malaysia berganding bahu memasak dan mengedarkan kira-kira 600 pek bubur lambuk kepada jemaah.
“Sebanyak 150 Kotak Rezeki juga disumbangkan kepada keluarga yang memerlukan, serta menaja majlis berbuka puasa dan sumbangan moreh untuk warga kariah.
“Kami turut mengundang Ustaz Syamsul Debat untuk menyampaikan tazkirah sebelum berbuka puasa yang dihadiri kira-kira 300 jemaah dan warga kariah” katanya.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia menyediakan kira-kira 80,000 makanan moreh Mekdi kepada jemaah selepas solat terawih.
“Kami juga edarkan 16,000 pek bubur lambuk kepada komuniti di sekitar masjid dan surau termasuk 500 Kotak Rezeki yang disalurkan ke beberapa masjid dan surau yang memerlukan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE