Maybank Islamic perkasa komuniti pedalaman dengan akses tenaga hijau

2 hours ago 1

KOTA KINABALU – Usaha yang bermula sebagai sebuah inisiatif berlandaskan semangat tanggungjawab sosial kini berkembang menjadi simbol transformasi holistik di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Inilah hakikat di sebalik Energy 4Life, sebuah program impak sosial Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) yang memanfaatkan dana zakat untuk menerangi kehidupan ribuan komuniti terpinggir di Sabah dan Sarawak dengan tenaga solar yang lestari dan mesra alam.

Dilancarkan pada tahun 2022, Energy 4Life bukan sekadar projek pengagihan panel solar, sebaliknya menjadi manifestasi bagaimana instrumen zakat dapat menjadi enjin perubahan berstruktur bagi menyelesaikan cabaran berpanjangan seperti kekurangan akses kepada bekalan elektrik, yang merupakan satu keperluan asas yang masih belum dinikmati segelintir rakyat Malaysia di kawasan pedalaman.

Sehingga kini, lebih RM2 juta telah disalurkan bagi pelaksa­naan program berkenaan, yang telah memberi manfaat kepada lebih 3,500 penerima, terutamanya golongan asnaf dan masyarakat yang sebelum ini tidak mempunyai akses tetap kepada tenaga elektrik.

Di salah satu kampung yang menerima manfaat di Pulau Sepanggar, Sabah, penduduk kini merasai perubahan ketara dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada petrol atau diesel untuk menjana elektrik yang bukan sahaja mahal, tetapi juga berisiko tinggi serta mencemarkan alam sekitar.

Mohamad Yasin

Kehidupan menjadi lebih lancar, sekali gus membuka peluang kepada komuniti untuk menjalani rutin harian dengan lebih efisien.

Sementara di Kampung Kapulu, Sabah, kaedah lampu pelita berasaskan diesel yang dahulu­nya menjadi satu-satu­nya sumber cahaya malam kini digantikan dengan pencahayaan tenaga solar yang cekap dan lestari.

Perubahan ini bukan sahaja membolehkan anak-anak belajar dalam suasana lebih selesa dan selamat berbanding sebelum ini yang terpaksa belajar dalam gelap hanya bertemankan lilin, malah turut memudahkan rutin harian serta aktiviti beribadah keluarga di sana.

Panel solar yang dibekalkan mampu menyimpan tenaga pada waktu siang dan menyediakan elek­trik selama sehingga lapan jam pada waktu malam.
Ia memberikan penjimatan ketara sehingga RM300 sebulan, mengurangkan beban kewangan isi rumah berpendapatan rendah dan membebaskan mereka dari kebergantungan kepada bahan api fosil yang semakin mahal.

Keadilan sosial

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Moha­mad Yasin Abdullah, zakat bukan sekadar kewajipan agama tetapi merupakan kuasa besar yang mampu merapatkan jurang pembangunan, menyusun semula keadilan sosial dan menyuntik harapan kepada mereka yang selama ini terpinggir.

“Melalui program Energy 4Life, dana zakat perniagaan Maybank Islamic digunakan secara strategik sebagai instrumen pembinaan komuniti yang bukan sekadar memberi pencahayaan, tetapi menjadi asas kepada kemajuan ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Pelaksanaan program tersebut di Sabah melibatkan kerjasama erat dengan organisasi pelaksana iaitu Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Yayasan Ikhlas dan Perbadanan Baitulmal Ne­geri Sabah.

Maybank melaksanakan projek memasang panel solar di lebih 1,000 kediaman di Sabah bagi membolehkan komuniti terpinggir di kawasan pedalaman disinari dengan tenaga lestari.

Sinergi ini membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi kewangan Islam dan agensi kebajikan mampu membawa perubahan bermakna kepada komuniti terpencil.

Energy 4Life membuktikan bahawa dengan pendekatan inklusif dan menyeluruh, zakat dapat dioptimumkan untuk memberi impak jangka panjang yang mampan dan holistik.

Program ini selari dengan komitmen Kumpulan Maybank untuk menjana impak positif kepada sejuta isi rumah di ASEAN pada peng­hujung 2025, serta mengangkat martabat zakat daripada sekadar bantuan jangka pendek kepada alat pembangunan mampan yang menyentuh aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Maybank Islamic membuktikan bahawa pendekatan zakat yang strategik bukan sahaja memutuskan rantaian kemiskinan dan me­ngurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, malah memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus kemajuan yang pesat ini.

Lebih daripada sekadar menyediakan tenaga elektrik, program Energy4life membina jalinan komuniti yang kukuh, merapatkan hubungan antara penerima manfaat dan memberi mereka peluang untuk me­ngubah nasib sendiri.

Tenaga hijau yang dihasilkan bukan sahaja menerangi rumah tetapi juga menghidupkan harapan baharu, membuka ruang bagi pendidikan yang lebih baik, perniagaan kecil yang berdaya saing, serta ke­sejahteraan keluarga yang lebih menyeluruh.

Dengan inspirasi dari kisah-kisah kejayaan yang terus bertambah, Program Energy 4Life kini menjadi simbol transformasi komuniti pedalaman melalui inovasi lestari dan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |