PETALING JAYA – Master Tec Group Berhad (Master Tec), pemain utama dalam pembuatan dan pengedaran kabel kuasa, kawalan dan instrumentasi, merekodkan pendapatan meningkat kepada RM91.16 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (S1 TK2026), melonjak sebanyak 29.8 peratus daripada RM70.24 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas (S1 TK2025).
Peningkatan ini didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pembuatan teras Kumpulan.
Seiring prestasi asas hasil yang lebih tinggi, Kumpulan mencatatkan keuntungan kasar (GP) sebanyak RM9.30 juta pada S1 TK2026, berbanding RM8.32 juta pada S1 TK2025.
Peningkatan ini disebabkan oleh sumbangan hasil yang lebih kukuh daripada segmen pembuatan, disokong oleh kecekapan operasi yang berterusan untuk mengurangkan turun naik harga bahan mentah.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat sebanyak 38.6 peratus kepada RM7.07 juta daripada RM5.10 juta pada Suku Pertama TK2025, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada RM5.25 juta berbanding RM4.54 juta sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Master Tec, Tee Kok Hwa berkata, prestasi S1 TK2026 mencerminkan daya tahan berterusan platform pembuatan dan kerelevanan penyelesaian kabel ang berterusan merentasi sektor pertumbuhan utama.
“Meskipun prestasi suku ke suku terjejas oleh permintaan yang lebih perlahan dan faktor bermusim, keputusan ini terus menunjukkan kekuatan asas asas pelanggan kami, keupayaan operasi dan kecekapan pelaksanaan.
“Kami kekal fokus untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengekalkan kualiti produk dan mengukuhkan kedudukan kami merentasi infrastruktur, utiliti, tenaga boleh diperbaharui, pusat data, telekomunikasi dan pasaran perindustrian,” katanya dalam kenyataan.
Kok Hwa menerangkan, segmen pembuatan kekal sebagai peneraju pendapatan utama Kumpulan, menyumbang RM86.83 juta pada S1 TK2026, mewakili peningkatan sebanyak 36.2 peratus berbanding RM63.76 juta yang dicatatkan pada S1 TK2025.
Prestasi yang lebih kukuh ini disokong terutamanya oleh permintaan yang berterusan untuk produk kabel Kumpulan merentasi infrastruktur, utiliti, pembinaan, telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui, pusat data dan sektor perindustrian.
Hasil dagangan berjumlah RM0.29 juta berbanding RM1.62 juta sebelumnya, mencerminkan aktiviti dagangan yang lebih rendah pada suku tersebut.
Sementara itu, segmen hasil kontrak, yang disumbangkan oleh Sediacom Sdn. Bhd. (Sediacom), mencatatkan RM4.04 juta daripada kerja-kerja berkaitan kontrak dan kejuruteraan.
Pelan perancangan masa depan, Master Tec kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospeknya, disokong oleh aktiviti berterusan merentasi infrastruktur, utiliti, pembinaan, telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui, pusat data dan sektor perindustrian.
Kumpulan akan terus mengukuhkan perniagaan pembuatan dan pengedaran terasnya di bawah Master Tec Wire & Cable Sdn. Bhd., manakala Sediacom terus menjalankan kerja-kerja berkaitan telekomunikasi dan kejuruteraan, termasuk penggerudian berarah mendatar dan aktiviti infrastruktur gentian optik.
“Di tengah-tengah perkembangan geopolitik yang berterusan, ketidakpastian rantaian bekalan global dan turun naik harga bahan mentah, Master Tec kekal fokus pada pengurusan kos yang berhemat, penambahbaikan operasi dan inisiatif kemampanan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang dan daya tahan operasi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2















































