Beberapa anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai, Kota Kinabalu pagi ini.
- Oleh IVAN AMIRUL
- 12 Februari 2026, 6:13 pm
KOTA KINABALU – Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes bunuh selepas penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan rumah kedai Indah Permai, Menggatal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata, pusat kawalan polis menerima maklumat awal berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 8.00 pagi, hari ini.
”Susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
”Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai. Kesemua bahagian yang dijumpai dipercayai milik seorang mangsa yang sama.
”Identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat.
”Pasukan Forensik PDRM Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta Unit Anjing Pengesan (K9) telah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti dan membantu siasatan,” katanya dalam Kenyataan media pada Khamis.
Mengulas lanjut, Syed Lot memaklumkan berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuh tersebut dibuang di kawasan rumah kedai berkenaan.
”Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HQE dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada 13 Februari, pukul 8.30 pagi dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7













![[VIDEO] ‘Mana datang ramai manusia dua minggu ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/sesak-ibu-negara.jpeg)



![[VIDEO] ‘Tak dapat pergi konsert, dia punya excited jumpa Datuk Awie live’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/Awie.jpeg)































