ALOR SETAR – Eksekutif bank wanita yang maut dipercayai dibunuh di rumahnya di Tanjung Bendahara, di sini hari ini bakal melangsungkan perkahwinan pada Jumaat ini.
Menurut ibu tiri mangsa, Norsiah Yahya, 65, Allahyarham Zahrullail Basir, 52, dan tunangnya yang berusia 57 tahun datang menziarahnya di Teluk Intan, Perak pada Selasa minggu lalu bagi membincangkan majlis pernikahan dan persandingan pasangan tersebut pada 13 dan 14 Februari ini.
“Majlis itu akan diadakan di rumah kami di Teluk Intan. Arwah bersama tunangnya datang untuk berbincang mengenai persiapan terakhir. Arwah gembira untuk berkahwin semula dan semua persiapan sudah dilakukan termasuk hantaran.
“Tidak sangka jadi begini. Majlis perkahwinan itu akhirnya akan menjadi majlis tahlil,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa hari ini.
Norsiah memberitahu, dia sekeluarga menerima berita tentang kematian anak kedua daripada enam beradik itu pada pukul 9 pagi tadi sebelum bergegas ke Alor Setar.
“Suami (Basir Kosop) terima panggilan daripada anak ketiga mangsa yang memberitahu ibunya sudah tiada…ditikam. Menggigil kami semua. Saya dimaklumkan kejadian disedari oleh anak ketiga arwah yang cuba mengejutnya ketika mahu ke kolej.
“Mangsa tinggal di rumah itu bersama tiga anaknya yang berusia 18, 13 dan lapan tahun sementara tiga anak lain berusia 29, 28 dan 25 tahun menetap di luar. Anak keempat sempat menceritakan terdapat kesan tikaman pada beberapa bahagian badan ibunya.
“Kejadian ini amat kejam dan kami tidak menyangka ia terjadi kepada arwah yang merupakan anak bertanggungjawab dan prihatin,” katanya.
Sementara itu, adik mangsa, Zuriani, 47, memberitahu, mereka sekeluarga tidak menyangka kejadian pembunuhan kejam tersebut terjadi kepada arwah memandangkan wanita itu baru hendak memulakan kehidupan baharu.
“Arwah sudah lama hidup sendirian. Tidak lama lagi dia akan berkahwin dengan kawan lama, dia sungguh gembira. Namun ini kesudahannya. Setakat ini kami masih menunggu siasatan polis.
“Anak saudara saya ada beritahu abangnya yang tinggal di Pulau Pinang pulang ke rumah mereka pada pukul 4 pagi tadi dan menghilangkan diri pagi ini,” katanya.
Tambahnya, anak sulung arwah yang menetap dan bekerja di Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu dikatakan jarang pulang ke rumah ibunya.- KOSMO! ONLINE

1 day ago
8



![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)








































