PETALING JAYA – “Mama doa satu hari nanti mama dapat jumpa penerima kornea mata Mirul sebagai pengubat rindu mama,”
Demikianlah luahan menyentuh hati seorang ibu yang kehilangan anak sulungnya, Allahyarham Muhammad Jaris Amirul Sharulanuar, akibat kemalangan jalan raya di Iskandar Puteri, Johor pada 23 Mei lalu.
Menerusi perkongsian di Threads, ibu mangsa, Norafinidin berkata, dia dan suaminya mengambil keputusan mendermakan kornea mata anak mereka sebagai hadiah terakhir buat insan lain agar dapat menikmati cahaya dan sinar baharu.
Katanya, keputusan mendermakan kornea dibuat oleh dirinya dan suami sebelum proses bedah siasat dijalankan.
“Kami dan suami pengikrar derma organ sejak 2008. Anak-anak semua tahu pendirian kami. Kami, ibu bapa yang membuat keputusan untuk menderma sebelum proses bedah siasat dibuat.
“Mama dan abah dermakan kornea mata Mirul sebagai hadiah untuk memberi cahaya dan sinar baharu kepada orang lain. Semoga asbab ini menjadi ganjaran pahala yang berterusan buat anakku, arwah Muhammad Jaris Amirul.
Menurutnya, Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewa dari tempat kerja.
Dalam satu lagi perkongsian, Norafinidin menyifatkan kehilangan anak sulungnya sebagai ujian paling berat buat keluarga, namun berkata Allahyarham merupakan seorang anak yang sangat bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan ibu bapanya.
“Anak sulung yang sentiasa bertanggungjawab walaupun kami sudah mampu, dia tetap berkongsi rezeki dengan kami.
“Dia sanggup berkorban demi restu ibu. Kata laluan telefon, nombor pin kad ATM dan kad kredit semuanya diberikan kepada saya untuk kegunaan keluarga. Bila tidak digunakan nanti, mama pasti akan teringatkan dia,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, ahli keluarga Allahyarham turut merakamkan penghargaan kepada Unit Perolehan Organ Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan Jabatan Forensik hospital berkenaan yang membantu melancarkan urusan pendermaan organ sebelum jenazah dibawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.
Perkongsian menyentuh hati itu menerima ribuan tanda suka dan ratusan komen daripada netizen yang menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar pahala daripada pendermaan kornea tersebut terus mengalir sebagai amal jariah buat Allahyarham.
Ramai turut menyifatkan keputusan keluarga berkenaan sebagai satu pengorbanan besar yang memberi harapan baharu kepada insan lain untuk kembali melihat dunia, sekali gus menjadi bukti bahawa di sebalik sebuah kehilangan, masih lahir sinar buat mereka yang memerlukan.
“Puan mempunyai hati yang sangat besar kerana membuat keputusan ini. Semoga dipermudahkan urusan sekeluarga dan murah rezeki ya,” komen Siti.
“Puan, saya membaca perkongsian ini dengan hati yang sebak. Di sebalik kehilangan yang begitu besar, mama dan abah memilih untuk menghadiahkan cahaya kepada orang lain. Itu kasih yang luar biasa.
“Saya percaya, setiap kali penerima kornea itu melihat wajah yang disayanginya, memandang langit, atau menikmati indahnya dunia, ada pahala yang terus mengalir buat arwah Muhammad Jaris Amirul,” komen Rizal pula. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3















![[VIDEO] ‘Apa benda banyak lalu-lalang pukul 3 pagi ni ye?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/9b72c2da-096c-433c-8558-7db2cbdfe4ab.jpeg)

































