SUBANG – Kontinjen terakhir Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 yang menamatkan tugas di bawah misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) sejak November tahun lalu selamat tiba di tanah air petang tadi.
Seramai 209 anggota terdiri daripada kontinjen keempat itu tiba di Pangkalan Udara Subang pada pukul 5.30 petang menaiki penerbangan AirAsia bersama tujuh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Ketibaan pasukan itu disambut dalam satu majlis penerimaan rasmi oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Muhammad Haszaimi Bol Hassan serta Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.
Malbatt 850-12 berlepas ke Lubnan pada 6 November tahun lalu dan beroperasi di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin, di selatan Lubnan.
Mohd Nizam berkata, pasukan pengaman itu telah menunjukkan komitmen tinggi di lapangan, meskipun berdepan cabaran getir rentetan konflik Israel-Gaza yang tercetus pada 7 Oktober 2023.
“Insiden pada 7 November 2024 yang mengakibatkan enam anggota kita cedera ketika dalam pergerakan dari Beirut ke Kem Ma’rakah merupakan peringatan jelas bahawa tugas sebagai pasukan pengaman bukanlah mudah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Kumpulan Keempat yang merupakan kontinjen terakhir Malbatt 850-12 di Pangkalan Udara Subang hari ini.
Beliau berkata, penglibatan konsisten Malaysia dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencerminkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai sebuah angkatan yang dipercayai, dihormati dan komited terhadap keamanan global.
Jelasnya, penyertaan misi luar negara bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di peringkat antarabangsa, malah memperkukuh keupayaan ATM menerusi pengalaman operasi sebenar di kawasan bergolak. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
3














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































