KUALA LUMPUR – Kumpulan rock alternatif Indonesia, Feast mengakui terkejut dengan sokongan dan sambutan yang diberikan peminat Malaysia sejak karya mereka mendapat tempat di sini.
Pemain bassnya iaitu Fadli Fikriawan berkata, komuniti peminat di negara ini yang menggelarkan diri mereka sebagai Kelelawar Malaysia antara penyokong kuat terhadap karya Feast.
Ujarnya sokongan luar biasa tersebut yang membuatkan Feast memilih untuk mengadakan konsert solo, Pertunjukan Membangun & Menghancurkan selama dua hari sejak semalam dan hari ini di Zepp Kuala Lumpur sekali gus menjadi hadiah terindah buat peminat mereka.
“Antara komuniti peminat terbesar dan paling aktif yang kami miliki adalah di sini, iaitu komuniti Kelelawar Malaysia.
“Walaupun peminat kami di Jakarta ramai, Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, adalah antara lokasi yang mempunyai kelompok peminat terbesar juga.
“Sebab itu kami memilih untuk menutup era Membangun dan Menghancurkan menerusi konsert di Malaysia. Kami juga ada kejutan untuk peminat di sini dan semua itu kepada yang hadir ke konsert,” katanya.
Kuala Lumpur juga menjadi lokasi penutup bagi siri konsert jelajah album ketiga kumpulan berkenaan, Membangun & Menghancurkan yang dilancarkan pada 2024.
Tambah Fadli, Malaysia menjadi antara destinasi istimewa buat mereka memandangkan sokongan diterima daripada peminat tempatan sangat luar biasa.
“Kita boleh anggap Malaysia sebagai rumah kedua atau mungkin rumah ketiga selepas Surabaya.
“Setiap kali datang ke sini, kami anggap seperti mengadakan persembahan di negara sendiri kerana suasananya memang terasa seperti berada di ‘rumah’,” katanya pada sidang media konsert berkenaan Citizen M, di sini semalam.
Sementara itu, vokalisnya, Baskara Putra berkata, penganjuran konsert selama dua malam mempunyai cabaran tersendiri kerana mahu memastikan mampu terus memberi persembahan penuh energi dan meninggalkan memori manis buat pembeli tiket.
Ujarnya, beberapa elemen persembahan yang dilakukan di Jakarta dan Surabaya akan dikekalkan di Kuala Lumpur namun tetap mempunyai beberapa kelainan yang hanya khusus untuk konsert di sini.
“Konsert selama dua hari ini pun sebenarnya satu cabaran besra buat kami ditambah perlu memikirkan cara untuk memastikan persembahan terutama pada hari terakhir masih segar dan penuh energi.
“Sama seperti dua persembahan terdahulu tetapi di Kuala Lumpur juga akan mempunyai kelainan yang kami lakukan,” katanya lagi.
Selain Fadli dan Baskara, Feast turut dianggotai Adnan Satyanugraha (pemain gitar) dan Dicky Renanda (pemain gitar).
Sejak awal kemunculan, kumpulan ini dikenali dengan karya yang sarat dengan pemerhatian sosial serta penulisan lirik yang tajam.
Pertunjukan Membangun & Menghancurkan berasaskan album ketiga mereka yang memuatkan sebanyak 15 trek itu merakam perjalanan peribadi setiap ahli sepanjang sedekad lalu.
Sebelum ini, Feast pernah membuat persembahan di Malaysia menerusi festival muzik, TAPAUfest di Lenggong, Perak pada 2022, konsert Here Comes The Sun Eater 2023 dan Latihan Pestapora Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
10








![[VIDEO] Tiba-tiba salam, selit RM50](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/rider-RM50.jpeg)



![[VIDEO] Selamba angkut kabel di tepi jalan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/curi-kabel.jpeg)
































