Malaysia pertahan anugerah pengurusan haji buat kali kelima

44 minutes ago 2

MEKAH – Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) mengungguli Anugerah Labbaitom buat kali kelima berturut-turut oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Pengiktirafan Diamond Award Labbaitom itu membuktikan kecemerlangan pengurusan haji oleh TH sebagai antara yang terbaik di dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pengiktirafan tertinggi itu membuktikan Malaysia terus menjadi penanda aras dunia dalam aspek pengurusan dan perkhidmatan haji yang menyeluruh.

Katanya, TH pada tahun ini melakukan penambahbaikan antaranya mengintegrasikan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) dalam operasi haji.

“Beberapa aplikasi berasaskan AI diperkenalkan bagi membantu jemaah haji mendapatkan maklumat dan jawapan secara masa nyata selain meningkatkan kecekapan pengurusan di Tanah Suci.

“Bukan itu sahaja, kita turut melaksanakan inisiatif Green Haji Lestari serta kempen kebersihan bagi memastikan pengurusan haji lebih lestari dan mesra alam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Labbaitom di sini hari ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Zulkifli berkata, kejayaan tersebut hasil komitmen kerajaan dan TH bersama para petugas haji, jemaah dan pendeposit dalam menyokong perkhidmatan terbaik bermula daripada persediaan sebelum, semasa dan selepas musim haji.

Katanya, disiplin dan akhlak jemaah haji Malaysia juga menjadi faktor penting kejayaan negara mengekalkan reputasi sebagai antara jemaah terbaik dunia.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga TH termasuk petugas Kementerian Kesihatan, petugas kebajikan dan pengurusan tertinggi TH yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota dan Perdana Menteri, Putera Mohammed Salman serta Dr. Tawfiq atas kerjasama dilaksanakan bagi memudahkan pengurusan haji.

Katanya, hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi banyak membantu TH meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, TH akan terus melaksanakan penilaian menyeluruh selepas musim haji bagi meneliti setiap maklum balas jemaah sebagai usaha penambahbaikan berterusan.

Katanya, tahap kesihatan jemaah Malaysia pada musim ini juga berada dalam keadaan baik hasil persediaan rapi yang dilakukan sejak awal.

Bagaimanapun katanya, setakat ini seramai 10 jemaah Malaysia direkodkan meninggal dunia di Tanah Suci berbanding 22 orang bagi keseluruhan musim haji tahun lalu.

“Sebahagian besar jemaah Malaysia telah selesai melaksanakan nafar awal manakala baki jemaah dijangka menyempurnakan ibadah haji sepenuhnya selepas selesai nafar thani,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |