PETALING JAYA – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor bioekonomi serantau menerusi pemeteraian tiga kerjasama strategik bernilai kira-kira RM7 juta pada Forum Kerjasama Serantau Malaysia bersempena BIO Asia–Taiwan 2026 baru-baru ini.
Kerjasama itu melibatkan teknologi serangga, bahan termaju berasaskan biochar dan produk bioteknologi berasaskan sarang burung.
Antara perjanjian yang dimeterai adalah kerjasama bernilai kira-kira RM1 juta antara syarikat Bio-based Accelerator (BBA) dari Sarawak, Fly Technology Agriculture Sdn Bhd (FTA), dengan Monster Biotech Co., Ltd. dari Taiwan.

Perjanjian itu melibatkan pembelian dan pembekalan jangka panjang bahan makanan haiwan berasaskan larva lalat askar hitam (BSF) dan baja bio daripada fras BSF, sekali gus memperluas peluang eksport Malaysia dan memperkukuh kedudukan negara dalam bioteknologi mampan serta pengeluaran protein serangga.
Satu lagi perjanjian bernilai RM1 juta dimeterai antara syarikat BBA, MCHAR Sdn Bhd, dengan TCHAR Co., Ltd. Dari Taiwan bagi pembelian awal 20 tan biochar.
Kerjasama itu turut menyokong rancangan MCHAR membangunkan kilang pengeluaran pigmen hitam dan bahan termaju berasaskan biochar di Malaysia yang mana kilang tersebut dijangka mula beroperasi pada 2027 dan menjana pendapatan kira-kira RM20 juta bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028.
Sementara itu, syarikat berstatus BioNexus, Glyken Bio Products Sdn Bhd, menjalinkan kerjasama dengan Taiwan Bansho Co., Ltd., cabang antarabangsa Lien Group dari Jepun.
Kerjasama bernilai RM5 juta dalam tempoh lima tahun ini bertujuan memperluas pengkomersialan serta akses pasaran bagi produk bioteknologi berasaskan ekstrak sarang burung walit milik Glyken di Taiwan, sekali gus menyokong strategi pengembangan syarikat ke pasaran serantau dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, kerjasama itu dapat memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serantau serta membuka peluang komersial baharu.
“Ketika rantaian bekalan global terus berdepan ketidaktentuan, kerjasama strategik dengan Taiwan ini menunjukkan bagaimana perkongsian bioekonomi serantau dapat mempelbagaikan rangkaian bekalan, memperkukuh daya tahan sektor makanan dan industri serta membuka peluang perniagaan baharu di seluruh Asia.
“Berpandukan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah MOSTI, Bioeconomy Corporation kekal komited untuk menghubungkan syarikat berstatus BioNexus dan BBA dengan rakan strategik di Taiwan serta negara lain di Asia.
“Kerjasama ini akan membantu mempercepat pengkomersialan, memperkukuh hubungan ASEAN–Asia Timur serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan bioekonomi yang dipercayai di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Penyertaan Malaysia diterajui Bioeconomy Corporation bagi memperluas pertukaran teknologi, inovasi mampan serta peluang perniagaan rentas sempadan.
Mohd Khairul berkata, BIO Asia–Taiwan menyediakan platform penting kepada syarikat Malaysia untuk menjalin hubungan dengan pemain industri, pelabur dan bakal rakan antarabangsa.
“Platform ini membolehkan Malaysia menampilkan keupayaannya, di samping mencipta nilai menerusi inovasi, pengkomersialan dan kerjasama rentas sempadan,” jelasnya.
Selain itu, Bioeconomy Corporation turut mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Kerjasama Serantau Malaysia yang menghimpunkan inovator, pelabur, pemimpin industri, penyelidik dan rakan antarabangsa.
Bertemakan “Unlocking Biotechnology Growth: Innovation, Investment and Global Partnership Opportunities”, forum itu mengetengahkan keupayaan syarikat Malaysia dalam mengkomersialkan penyelidikan serta inovasi bioteknologi.
Syarikat BBA, Oncode Scientific Sdn Bhd mempamerkan penyelesaian diagnostik onkologi, syarikat berstatus BioNexus, MYmAb Biologics Sdn Bhd mengetengahkan penyelidikan dan pembangunan penyelesaian penjagaan kesihatan generasi baharu, manakala BioVerde Technologies Sdn Bhd menampilkan produk berasaskan bio yang mampan dan bernilai tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi hijau.
Pharmaniaga Berhad dan Duopharma Biotech Berhad pula menyertai program padanan perniagaan bagi meneroka peluang kerjasama dengan pemain industri antarabangsa.
BIO Asia–Taiwan adalah antara persidangan dan pameran bioteknologi terkemuka di rantau Asia Pasifik yang menghimpunkan pemain industri, pelabur, penyelidik dan pembuat dasar dari seluruh dunia bagi meneroka peluang perniagaan serta memperkukuh kerjasama dalam sektor bioteknologi dan teknologi perubatan (medtech).
Dianjurkan oleh Biotechnology Innovation Organization (BIO) dan Taiwan Bio Industry Organization (Taiwan BIO), edisi 2026 berlangsung pada 15 hingga 19 Julai ini di Dewan TaiNEX 1 & 2, Nangang Exhibition Center, Taipei. -KOSMO! ONLINE

16 hours ago
8
















































