Malaysia komited perkukuh integrasi ekonomi serantau menerusi APEC

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bagi memastikan integrasi ekonomi serantau terus diperkukuh demi manfaat rantau Asia-Pasifik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, komitmen itu turut meliputi usaha memperkasa transformasi digital, inisiatif kelestarian dan keselamatan tenaga.

“(Ini termasuk) kerjasama rantaian bekalan supaya terus memberi hasil yang praktikal serta berorientasikan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan APEC (MRT) 2026 yang berlangsung di Suzhou, China pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, mesyuarat itu diadakan bersempena tema tuan rumah APEC 2026 oleh China iaitu ‘Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together’.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pelbagai isu ekonomi serantau dan global termasuk pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala, integrasi ekonomi serantau, perdagangan digital dan kecerdasan buatan (AI), kelestarian, keselamatan tenaga serta daya tahan rantaian bekalan.

“Dalam suasana ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan fragmentasi ekonomi global, Malaysia menegaskan sokongan berterusan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus, boleh diramal dan berasaskan peraturan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kekal sebagai teras utama.

“Malaysia turut menekankan bahawa perjanjian perdagangan serantau dan mega perlu saling melengkapi serta mengukuhkan WTO, selain mempertingkat kerjasama dalam aspek keselamatan tenaga dan pembinaan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia turut menegaskan kepentingan memastikan manfaat pendigitalan, penggunaan AI dan peralihan hijau dapat dilaksanakan secara praktikal, inklusif serta mudah diakses khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, perkara itu boleh dicapai menerusi peningkatan interoperabiliti, pembangunan kapasiti dan pelaksanaan yang lebih mudah.

Pada masa sama, Johari turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari China, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Korea Selatan, Jepun dan Singapura bagi memperkukuh kerjasama ekonomi strategik serta bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi global semasa.

“Pertemuan dua hala itu memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama perdagangan dan pelaburan, peningkatan kolaborasi dalam sektor strategik termasuk keselamatan tenaga dan rantaian bekalan berdaya tahan, selain memperkukuh keyakinan pelabur serta daya tahan ekonomi serantau,” ujarnya.

Johari turut mengadakan sesi libat urus bersama Gabungan Perniagaan Amerika Syarikat-APEC serta beberapa syarikat yang mempunyai pelaburan dan operasi di Malaysia bagi bertukar pandangan berkaitan perkembangan perdagangan dan pelaburan semasa.

Katanya, sesi itu turut menyentuh isu daya tahan rantaian bekalan, pendigitalan dan pemudahcaraan pelaburan.

“Malaysia kekal komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan memastikan rantau Asia-Pasifik terus terbuka, berdaya tahan serta kondusif untuk pertumbuhan perdagangan dan pelaburan mampan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |