PUTRAJAYA- Malaysia dan India menzahirkan kesepakatan untuk menggunakan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dan pelaburan dua hala sebagai langkah memperkukuh kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia dan Central Bank of India telah bekerjasama rapat bagi memudahkan penggunaan Ringgit Malaysia dan Rupee India dalam perdagangan serta pelaburan dua hala.
Katanya, perdagangan kekal sebagai tonggak utama hubungan dua hala dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin pesat serta perkembangan perdagangan global yang memberangsangkan.
“Antara perkembangan penting yang dicapai ialah keputusan untuk menggunakan mata wang tempatan sejauh yang boleh dalam urusan perdagangan dan pelaburan.
“Kemajuan serupa turut dicapai dalam bidang keterhubungan digital, tenaga dan sektor semikonduktor,” katanya dalam sidang akhbar bersama sempena lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Anwar berkata, pertemuan dan pertukaran pandangan antara kedua-dua negara disifatkan amat penting serta bermakna selain memainkan peranan besar dalam memajukan dan memperkukuh hubungan Malaysia–India.
Katanya, hubungan dua hala yang terjalin sejak 1957 itu telah dipertingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2024.
“Hubungan sejarah yang mendalam, ikatan rakyat-ke-rakyat yang kukuh serta kerjasama ekonomi yang semakin berkembang dijangka terus memacu kerjasama lebih erat merentasi pelbagai sektor.
“Perkongsian Malaysia-India benar-benar bersifat menyeluruh, dan kedua-dua pihak yakin bahawa dengan muhibah serta komitmen kukuh kerajaan masing-masing, termasuk Menteri Luar, semua inisiatif yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara pantas dan berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
5



![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)







![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)





































