SKUAD lelaki negara menamatkan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di peringkat suku akhir, namun kekalahan 0-3 kepada Jepun lebih daripada sekadar keputusan, sebaliknya cerminan tahap sebenar Malaysia berdepan pasukan elit Asia ketika ini.
Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen mengakui Jepun berada satu tahap di hadapan dan terlalu sukar untuk dicabar, sekali gus menamatkan impian Malaysia untuk mempertahankan pingat perak edisi 2024.
“Secara keseluruhan, Jepun terlalu kuat hari ini dan malangnya kami tidak berjaya memberikan cabaran yang mencukupi kepada mereka,” kata Jonassen.
Menurutnya, kekalahan di bumi Qingdao, China itu menjadi gambaran jelas skuad negara masih mempunyai jurang yang perlu dirapatkan sebelum mampu bersaing secara konsisten dengan pasukan-pasukan terbaik Asia.
“Kejohanan ini memberikan banyak pengajaran, ada positif dan ada juga yang menjadi petunjuk jelas tentang apa yang perlu kami perbaiki sebelum bersaing dengan kelompok pemain ini serta pasukan-pasukan teratas,” jelasnya.
Kekalahan itu menyebabkan Malaysia terlepas slot automatik ke Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan, memandangkan hanya empat pasukan terbaik layak secara merit, meskipun peluang masih terbuka melalui laluan negara yang tidak layak.
Dalam aksi suku akhir, Malaysia bermula mengecewakan apabila perseorangan utama, Justin Hoh tewas dalam pertarungan tiga set kepada Yushi Tanaka 17-21, 22-20, 11-21.
Beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King kemudian gagal menyekat corak permainan kemas dan berdisiplin gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sebelum tewas 14-21, 12-21.
Kekalahan Malaysia disahkan dalam perseorangan kedua apabila Aidil Sholeh tidak mampu mengekalkan momentum selepas memenangi set pertama sebelum tunduk 22-20, 11-21, 3-21 kepada Koki Watanabe.
Di sebalik kekecewaan tersingkir, Jonassen tetap melihat satu elemen positif yang menjadi asas penting untuk masa depan pasukan negara.
“Sokongan antara pemain dan semangat berpasukan sangat kuat dan jelas dapat dilihat kebersamaan serta kemesraan dalam pasukan ini,” katanya.

21 hours ago
5



![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)








![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)




































