
![]()
JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan program berbasikal kebangsaan sekiranya Pengarah Teknikal Berbasikal Kebangsaan, John Beasley membuat keputusan meninggalkan Malaysia.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyifatkan jurulatih kelahiran Australia itu sebagai individu yang berjaya mengubah landskap berbasikal trek Malaysia sehingga muncul antara kuasa yang dihormati dalam acara trek antarabangsa.
Azizulhasni akui risau dengan perkembangan tersebut dan merasakan kehilangan Beasley bukan sahaja memberi kesan kepada aspek kejurulatihan, malah berpotensi menjejaskan pembangunan atlet serta hala tuju jangka panjang program berbasikal negara.
“Jika John pergi, program berbasikal negara mungkin akan menuju ke laluan yang sukar kerana dialah individu yang membantu mengubah berbasikal Malaysia daripada hampir tiada apa-apa kepada kuasa bertaraf dunia.
“Malaysia akan berdepan cabaran besar untuk mencari seorang lagi jurulatih seperti John kerana dia bukan sahaja luar biasa dalam kejurulatihan, perancangan dan pembangunan atlet.
“Apapun, selamat maju jaya kepada mereka yang merasakan mereka mampu melakukan tugas ini dengan lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya semalam.
Azizulhasni turut mendedahkan bahawa Beasley menerima pelbagai tawaran lumayan daripada negara lain sepanjang berkhidmat bersama skuad negara, namun tetap memilih untuk meneruskan khidmatnya di Malaysia.
“Selama bertahun-tahun, John menerima pelbagai tawaran daripada negara lain, namun tetap setia bersama Malaysia. Malah, sanggup meninggalkan perniagaan basikal keluarganya di Melbourne demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan berbasikal negara.
“Selepas mencurahkan begitu banyak usaha dan pengorbanan kepada program ini, adalah sesuatu yang boleh difahami jika beliau berasa kecewa apabila perkara tidak berjalan seperti yang dirancang.
“Menghadapi politik dalaman, tentangan daripada segelintir jurulatih tempatan yang mahu beliau disingkirkan serta persekitaran yang mungkin tidak menyokong sepenuhnya agenda prestasi tinggi sudah pasti memberi tekanan kepada sesiapa sahaja,” tambah Azizulhasni.
Terdahulu, Beasley mendedahkan dia kemungkinan tidak akan meneruskan kontraknya yang bakal tamat pada Januari tahun depan susulan kekecewaan terhadap beberapa isu yang membelenggu program berbasikal negara termasuk politik dalaman, kerenah birokrasi, kekurangan hala tuju yang jelas serta dakwaan serangan peribadi daripada pihak tertentu.
The post Malaysia bakal rugi besar appeared first on Kosmo Digital.

10 hours ago
7

















![[VIDEO] Empat maut kereta dihempap treler terbabas di Bukit Tinggi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-14-at-20.21.10.jpeg)


























