BUAT penggemar durian, menikmati buah itu merupakan satu pengalaman yang dinanti-nantikan setiap tahun.
Kebiasaannya, tatkala tiba musim durian, orang ramai akan berkunjung ke dusun atau kedai buah untuk menikmatinya.
Namun kini, warga Lembah Klang tidak perlu lagi memandu jauh ke Raub, Bentong di Pahang atau Balik Pulau, Pulau Pinang untuk menikmati suasana dusun kerana terdapat sebuah lokasi unik di Seri Kembangan, Selangor.
Lokasi itu menawarkan pengalaman santai sambil menjamu selera dengan pelbagai variasi durian premium.
TAN bergambar bersama beberapa varieti durian.Durian BB Academy tampil sebagai destinasi percutian ringkas yang sesuai dikunjungi bersama keluarga, rakan-rakan, mahupun pelancong luar negara untuk mengenali budaya menikmati durian di Malaysia.
Terletak di kawasan yang mudah diakses, Durian BB Academy menggabungkan konsep pusat pendidikan durian, ruang santai dan lokasi menikmati pelbagai jenis durian segar dalam satu destinasi.
Menurut Canselor Durian BB Academy, Jack Tan, tempatnya berbeza daripada gerai durian biasa kerana lokasi itu direka bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung.
“Sebaik melangkah masuk, suasana yang nyaman dengan dekorasi berinspirasikan dusun memberikan pengalaman seolah-olah berada di kawasan kebun durian, walaupun sebenarnya terletak di bandar.
“Antara tarikan utama Durian BB Academy adalah peluang mengenali dengan lebih dekat pelbagai varieti durian terkenal dari seluruh negara,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati durian musang king, black thorn, D24, udang merah, IOI dan tekka, malah mereka turut diberi penerangan mengenai asal usul, ciri rasa, tekstur isi, warna serta kaedah pemilihan buah berkualiti.
Pendekatan itu menjadikan kunjungan bukan sekadar sesi makan durian, sebaliknya pengalaman pembelajaran yang menarik untuk semua peringkat umur.
Seiring namanya sebagai sebuah akademi, lokasi itu turut menampilkan elemen pendidikan melalui perkongsian ilmu mengenai industri durian Malaysia.

Kongsi Tan, pengunjung juga berpeluang memahami proses penanaman, penjagaan pokok, musim pengeluaran, teknik penuaian dan penyimpanan buah supaya kualiti durian sentiasa terpelihara.
“Bagi mereka yang baru berjinak-jinak menikmati durian, penerangan sebegini dapat membantu membezakan karakter setiap varieti, sekali gus meningkatkan penghargaan terhadap hasil pertanian tempatan.
“Suasana santai turut menjadi faktor yang menjadikan Durian BB Academy pilihan ramai.
“Ruang makan yang luas dan bersih membolehkan pengunjung menikmati durian dengan lebih selesa tanpa perlu berebut tempat,” ujarnya.
Katanya lagi, kemudahan seperti kawasan parkir yang mencukupi, ruang bergambar serta sudut santai menjadikan lokasi itu sesuai untuk dijadikan tempat berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan pada hujung minggu.
Menerima kunjungan pada dua sesi, pagi dan petang, lokasi tersebut juga boleh ditempah untuk aktiviti berkumpulan atau rombongan sekolah.
Selain durian segar, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai produk hiliran berasaskan durian sebagai buah tangan.
Antaranya termasuk pes durian, ais krim durian, kopi durian, pencuci mulut serta makanan ringan yang dihasilkan menggunakan isi durian berkualiti.

Selain itu, Durian BB Academy mempunyai produk terkini iaitu minyak wangi daripada bunga durian yang merupakan pertama seumpamanya di dunia.
Produk-produk itu membolehkan pengunjung membawa pulang memori istimewa raja buah untuk dinikmati di rumah atau dijadikan hadiah kepada kenalan.
Jelas Tan, bagi pelancong asing pula, Durian BB Academy menawarkan peluang untuk mengenali salah satu identiti gastronomi Malaysia dalam suasana lebih teratur dan mesra.
“Kakitangan berpengalaman sedia membantu memperkenalkan variasi durian mengikut tahap kemanisan atau rasa pahit yang diingini.
“Ini mampu memberikan pengalaman pertama menikmati durian yang lebih menyeronokkan kepada pelancong.
“Namun begitu, jika bukan musim durian, lokasi ini masih menerima kedatangan pengunjung dengan menawarkan aktiviti menarik seperti menghasilkan barangan kraf tangan daripada daun durian, selain belajar tentang durian,” tambahnya.
Kongsi Tan lagi, gabungan konsep pendidikan, pengalaman merasa pelbagai varieti durian premium, suasana santai dan kemudahan yang lengkap menjadikan lokasi tersebut pilihan ideal untuk percutian singkat tanpa perlu meninggalkan bandar.

15 hours ago
6
















































