Lumayan! Pengadil Piala Dunia 2026 raih sehingga RM413,000 seorang

3 hours ago 2

PETALING JAYA– Tugas sebagai pengadil pada saingan Piala Dunia FIFA 2026 bukan sahaja menjanjikan prestij tertinggi dalam karier pengadilan, malah bakal membawa pulangan lumayan apabila setiap pegawai perlawanan dijangka menerima bayaran sekitar AS$100,000 (RM413,000).

Menurut laporan Refereeing World, jumlah tersebut hampir dua kali ganda berbanding bayaran yang diterima pengadil pada edisi 2014, dengan bonus tambahan turut disediakan kepada mereka yang mengendalikan lebih banyak perlawanan terutama di peringkat kalah mati.

Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dijangka menjadi edisi terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 pasukan.

Bayaran asas sekitar RM413,000 itu belum termasuk elaun harian, penginapan, penerbangan dan insentif prestasi yang ditawarkan FIFA sepanjang kejohanan berlangsung.

Bagi peminat bola sepak tempatan, angka tersebut mengimbau kenangan pengadil legenda negara, Subkhiddin Mohd. Salleh atau lebih dikenali sebagai Suki Din, yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mengadili perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan.

Dalam satu podcast sebelum ini, Subkhiddin pernah berkongsi pengalaman bahawa pendapatan yang diterimanya sepanjang bertugas di pentas Piala Dunia ketika itu cukup lumayan sehingga boleh digunakan untuk membina dua buah rumah.

Kejayaan Subkhiddin mengendalikan perlawanan Piala Dunia termasuk aksi Jerman menentang Serbia dan Chile menentang Switzerland terus menjadi kebanggaan negara, sekali gus membuktikan pengadil Malaysia mampu berdiri sebaris dengan pegawai perlawanan terbaik dunia.

Dengan ganjaran hampir setengah juta ringgit bagi seorang pengadil pada edisi 2026, profesion pengadilan kini bukan sahaja menawarkan pengiktirafan di pentas antarabangsa, malah menjadi antara kerjaya paling berbaloi dalam dunia bola sepak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |