SEPANG – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya akan dibuka kepada orang awam akhir bulan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan telah melepasi fasa percubaan operasi dan tarikh rasmi pembukaan akan diumumkan dalam tempoh kira-kira dua minggu ini.
“LRT3 memang dalam tempoh percubaan operasi dan semuanya sudah bersedia. Kita menjangkakan ia dapat beroperasi menjelang penghujung bulan ini.
“Selepas beberapa ujian dilakukan, kami berpuas hati dan yakin operasi rasmi dapat dimulakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-62 Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di KLIA hari ini.
LRT3 sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang dan laluan itu mempunyai 25 stesen serta bakal memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) bagi memperkukuh aspek keselamatan pemandu susulan beberapa insiden melibatkan pemandu diserang penumpang sejak kebelakangan ini.
Katanya, antara cadangan yang pernah dibangkitkan adalah pemasangan kamera dalam kenderaan bagi melindungi pemandu.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana turut melibatkan isu privasi penumpan.
“Kita akan berbincang dengan syarikat pengendali e-hailing. Memang ada operator yang mencadangkan pemasangan kamera seperti dashcam (kamera papan pemuka) untuk melindungi pemandu mereka.
“Cuma kita perlu meneliti pelaksanaannya kerana ia juga melibatkan aspek privasi penumpang. Sebab itu kita perlu berhati-hati. Keselamatan penumpang penting, keselamatan pemandu juga penting,” katanya.
Katanya, keselamatan pemandu dan penumpang perlu diberikan perhatian yang sama dan sebarang pendekatan yang diambil mesti mencapai keseimbangan antara kedua-dua kepentingan itu. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
5

















![[VIDEO] Empat maut kereta dihempap treler terbabas di Bukit Tinggi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-14-at-20.21.10.jpeg)


























