KUALA LUMPUR – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 menyasarkan penyertaan sehingga 930 syarikat pampamer dari 36 negara yang akan bermula 20 hingga 24 April tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, angka itu adalah peningkatan hampir 15 peratus berbanding edisi sebelum ini.
Beliau berkata, sehingga kini sambutan terhadap LIMA 2027 amat memberangsangkan apabila hampir 40 peratus ruang pameran telah ditempah.
“Tempahan itu dibuat hanya dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran awal semasa pameran Defence Services Asia (DSA) dan NATSEC Asia tahun ini.
“Perkembangan ini membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan LIMA sebagai platform pilihan bagi diplomasi pertahanan, kerjasama teknologi dan peluang perniagaan strategik di rantau Asia Pasifik,” katanya menerusi teks ucapan.
Teks ucapan beliau itu dibacakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman pada Majlis Pelancaran Rasmi LIMA 2027 di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, LIMA 2027 yang bertemakan Sustainable Vision Across Sea, Sky and Space dijangka menghimpunkan kira-kira 60,000 pelawat perdagangan, 400,000 pengunjung awam serta 450 delegasi antarabangsa dari 65 negara.
Katanya, pameran itu turut dijangka menampilkan sehingga 110 pesawat dan aset udara serta kira-kira 90 kapal dan aset maritim.
Selain itu, empat pasukan aerobatik bertaraf dunia dari Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Rusia turut dijemput bagi menjayakan pertunjukan udara, tertakluk kepada pengesahan penyertaan.
Beliau berkata, pihak penganjur turut menjemput empat pasukan aerobatik bertaraf dunia iaitu Black Eagles dari Korea Selatan, Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu, Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia dan Russian Knights dari Rusian dijangka akan menyertai pemeran tersebut.
Menurut beliau, LIMA 2027 juga memberi tumpuan kepada lapan segmen utama termasuk teknologi kapal dan dron autonomi, keselamatan siber serta kecerdasan buatan (AI), sistem senjata canggih, komunikasi satelit dan bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, pameran tersebut akan mempamerkan beberapa aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Ia termasuk pesawat pejuang ringan FA-50 Fighting Eagle, sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) ANKA-S dan Kapal Tempur Pesisir (LCS),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
7







































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








