SUBANG JAYA – Kerajaan Selangor menawarkan sebanyak 100 unit rumah sewa sementara di Pangsapuri Sri Suria, Kota Warisan, Sepang kepada penduduk yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, inisiatif itu merupakan langkah segera bagi memastikan mangsa mempunyai tempat tinggal yang selesa dan selamat dalam tempoh pemulihan.
Menurut beliau, unit yang ditawarkan berkeluasan 1,100 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta kemudahan asas seperti kipas, lampu dan pagar keselamatan.
“Kadar sewa ditetapkan sebanyak RM850 sebulan, termasuk yuran penyelenggaraan, untuk tempoh enam bulan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Program Selangor Prihatin di sini hari ini.
Beliau berkata, surat tawaran akan dikeluarkan dalam tempoh sehari dan penyerahan kunci dijangka dibuat dalam masa dua hari selepas tawaran disahkan.
“Tawaran itu terbuka kepada semua penduduk terjejas, tanpa mengira status pemilikan rumah sama ada pemilik atau penyewa,” katanya.
Ujarnya, daripada 396 unit kediaman yang dikenal pasti terjejas dalam insiden itu, sebanyak 295 unit dimiliki sendiri manakala 101 unit disewa.
Dalam pada itu, Borhan berkata, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Sime Darby Property Berhad bagi menyediakan 66 unit hartanah untuk disewa atau dibeli pada harga istimewa sebagai penyelesaian jangka sederhana dan panjang.
“Unit yang ditawarkan melibatkan projek di Serenia City, Sepang dan Bandar Bukit Raja 2, Klang, meliputi rumah teres dua tingkat dan townhouse bersaiz antara 750 hingga 2,092 kaki persegi.
“Sebanyak 10 unit di Serenia City ditawarkan untuk sewaan pada harga RM1,800 sebulan lengkap dengan kelengkapan asas seperti peti sejuk, kipas dan lampu manakala selebihnya untuk jualan dengan harga bermula RM793,888 hingga RM924,888,” jelasnya.
Borhan berkata, kerajaan negeri akan terus menyelaras pelbagai bentuk bantuan dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan kebajikan mangsa sentiasa terbela.
Permohonan boleh dibuat di kaunter khas di Masjid Putra Heights dari pukul 10 pagi hingga 4.30 petang (Isnin hingga Rabu) dan 10 pagi hingga 3 petang (Sabtu) atau terus ke pejabat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) di Bangunan SUK, Shah Alam. – KOSMO! ONLINE