Lembaga hitam bertenggek atas kubur hulur tangan

6 hours ago 4

TUGAS sebagai penggali kubur bukan sahaja memberi peluang buat Mail (bukan nama sebenar) dan adiknya Budin (bukan nama sebenar) beramal tetapi mengajar mereka tentang kehidupan.

Kata Mail, pelbagai pengalaman aneh mahupun mistik telah dialaminya sejak bekerja di salah satu tanah perkuburan Islam di Utara tanah air sekitar 10 tahun lalu.

“Kalau hendak cerita kisah seram, ada bermacam perkara yang pernah saya lihat dengan mata sendiri tetapi ini semua bukan bertujuan untuk mengaibkan si mati apatah lagi untuk berseronok kerana ‘boleh’ melihat hantu.

“Semua yang terjadi dengan izin Tuhan dan kita sebagai hamba perlu jadikan semua itu sebagai pengajaran agar jangan terlalu mengikut nafsu ketika hidup sehingga lupa tanggungjawab sebagai Muslim,” kata Mail membuka bicara kepada CitaRasa baru-baru ini.

Mengharapkan perkongsiannya dijadikan sebagai pengajaran, Mail memberitahu, pernah dia menguruskan jenazah yang secara tiba-tiba liang lahad digenangi air.

Disebabkan kenderaan yang membawa jenazah mengalami kerosakan, jenazah tiba lewat sehingga proses pengurusan perlu dilakukan sekitar pukul 7 malam.

Tanpa memikirkan hal aneh, Mail berpendapat kemungkinan terdapat sumber mata air yang tiba-tiba muncul sedangkan sebelum itu liang lahad tersebut kering dan tiada tanda-tanda persekitarannya berair.

“Sebelum jenazah sampai memang liang lahad itu kering dan kami sudah membersihkan sekitar kawasan agar dapat memudahkan urusan perkebumian.

“Tetapi tiba-tiba waktu hendak memasukkan jenazah, tanah bahagian dalam liang lahad berair dan berlecak sehingga menyebabkan kain kafan basah dan sukar untuk diurus kerana permukaan tanah yang licin.

“Agak mengambil masa juga tetapi kami ‘tanam’ niat melakukan benda baik tidak perlu mengeluh, apatah lagi bercerita hal yang bukan-bukan,” katanya.

Setelah semuanya selesai, Mail dan Budin kemudian menjadi individu terakhir yang meninggalkan kawasan perkuburan.

Sewaktu ingin membersihkan tanah di sekitar kubur, tiba-tiba kedengaran sayup-sayup suara meminta tolong.

Kemudian muncul bau terbakar dan busuk yang menyengat sehingga hampir membuat Budin termuntah disebabkan tidak dapat menahan diri.

“Saya sendiri pun hampir termuntah tetapi hanya sabar. Kami berdua kemudian berkemas secara ala kadar dan merancang untuk kembali semula pada esok pagi.

“Sebaik saja beberapa langkah meninggalkan kubur, kedengaran suara garau memanggil nama kami dan ketika menoleh alangkah terkejutnya kami melihat ada lembaga berwarna hitam dengan kulitnya seperti mengelupas berdiri betul-betul di atas kubur sambil menghulurkan tangan dengan mulut ternganga.

“Memang selepas itu kami berdua terus berlari meninggalkan kawasan perkuburan dan pulang ke rumah tanpa menoleh ke belakang sehingga tidak sedar ada kelengkapan menggali kubur tertinggal,” ujarnya.

Kejadian yang berlaku ketika awal pembabitan Mail dan Budin sebagai penggali kubur itu tetap segar dalam ingatan dan menjadi titik tolak buat mereka lebih mempersiapkan diri terutama saat berhadapan dengan kejadian sebegitu.

“Hendak mengaku ustaz itu tidak, apatah lagi nak mengaku diri ini seperti Tok Adi (nama watak aktor Nasir Bilal Khan dalam drama ikonik Tanah Kubur) tetapi saya banyak belajar dengan ‘orang-orang pandai’.

“Kita tidak tahu adakah apa yang berlaku itu antara balasan Tuhan atau mainan iblis yang sekadar ingin ‘bermain-main’ dengan iman kita.

“Sebagai mukmin mempercayai hal ghaib ini juga sebahagian daripada keteguhan iman dan dalam al-Quran juga ada menceritakan tentang wujudnya jin serta tipu daya iblis untuk melalaikan keturunan Nabi Adam,” katanya.

Ringkasnya perkongsian Mail itu bukan sekadar ceritera seram yang ingin dibanggakan tetapi pengajaran dan bukti bahawa terdapat banyak hal sukar untuk dijelaskan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |