PETALING JAYA – Video seorang lelaki yang dipujuk oleh anggota bomba semasa termenung di sisi motosikal ketika hujan mengundang pelbagai reaksi netizen apabila ramai mengaitkannya dengan beban hidup yang dipendam golongan lelaki.
Rakaman yang tular dimuat naik oleh @Bella_daillies di laman Threads itu memaparkan lelaki berkenaan duduk dalam hujan sambil ditemani anggota bomba yang turut memberikan kata-kata nasihat dalam meneruskan kehidupan dan berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.
Bagaimanapun, seorang netizen @_Alifhairi yang dipercayai individu dalam video tersebut tampil menjelaskan dirinya berada dalam keadaan baik dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi melampau.
“Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Biasa air (masalah) ada pasang surut, tetapi tiba-tiba banjir besar kita terkejut juga.
“Kena ambil masa untuk surutkan kembali. Kepada semua, tolong jangan keluarkan apa-apa kenyataan yang pelik-pelik,” katanya.
Pengguna, @Iskandar_arrif berkata, dia sebak melihat video tersebut kerana merasakan ramai lelaki terpaksa memendam masalah tanpa meluahkannya kepada sesiapa.
“Kadang-kadang terlalu banyak yang dipendam dan terlalu sedikit yang mampu diluahkan. Teruskan berjuang, jangan mengalah. Rehat kalau penat, tetapi jangan berhenti,” ujarnya.
Sementara itu, @Budaqbaikk berpendapat stigma masyarakat yang menganggap lelaki lemah apabila meluahkan perasaan menjadi antara punca ramai memilih untuk memendam tekanan.
“Lelaki kalau meluah dianggap lemah. Mentaliti seperti ini menjadi punca lelaki memendam segala masalah,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Fatihahmohd_ pula menggesa golongan lelaki supaya tidak takut untuk berkongsi perasaan dengan pasangan, keluarga atau sahabat yang dipercayai.
“Jangan rasa meluah itu nampak lemah. Sebenarnya ia menunjukkan seseorang itu kuat dan berani,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5


![[VIDEO] ‘Terima kasih orang baik’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/a3bd61e2-d168-42e1-85b7-c25873991d08.jpeg)












































