Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!
- Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
- 7 Januari 2026, 1:06 pm
SEBERANG PERAI – Seorang peniaga makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan melanggar seorang doktor sehingga menyebabkan kecederaan, 28 Disember lalu.
Khor Wei Yeak, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap A. Avinash, 32, dengan melanggarnya menggunakan sebuah kereta di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Perai, kira-kira pukul 11.30 malam.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam C. Hari Prassaad Rao.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
6

















































