KUALA LUMPUR – Seramai lebih 155,000 warga asing telah tampil menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) setakat ini, dengan lebih 138,000 daripadanya telah dihantar pulang ke negara asal.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, hasil kompaun yang dikenakan kepada warga asing turut mencecah lebih RM77 juta sebagai hasil kepada negara.
Beliau berkata, antara warganegara yang mencatatkan penyertaan tertinggi dalam program tersebut ialah Bangladesh, diikuti dengan Indonesia.
“Kebanyakan warga asing yang hadir adalah atas kerelaan sendiri. Kita pun dah uar-uarkan mengenai program ini sejak dari tahun lepas lagi dan mereka mengambil peluang untuk memastikan dapat pulang ke negara masing-masing.
“Program ini masih lagi terbuka sehingga April. Warga asing yang berada di dalam negara ini melebihi tempoh yang sepatutnya ataupun tidak mempunyai sebarang visa dan permit yang sah, ambil program ini sebelum ia ditutup kerana selepas itu, anda akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan JIM di sebuah pusat beli belah di sini malam tadi.
PRM 2.0 dilaksanakan bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026 khusus bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Di bawah pelaksanaan program itu, kerajaan menetapkan kompaun RM500 bagi kesalahan masuk dan tinggal tanpa pas/permit sah serta tinggal lebih masa, manakala kompaun RM300 dikenakan bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Selain itu, setiap pemohon turut dikenakan bayaran RM20 bagi pengeluaran Pas Khas.
PRM 2.0 juga tidak terbuka kepada individu yang disenarai hitam, mempunyai waran tangkap/dikehendaki pihak berkuasa, atau mereka yang telah mendaftar PRM sebelum ini, tetapi gagal membuat perjalanan keluar.
Sementara itu, Lokman turut menyifatkan jumlah penyertaan semasa adalah tinggi dan menjangkakan angka itu akan terus meningkat menjelang tarikh akhir, berdasarkan trend program-program terdahulu.
“Dalam tempoh sekarang ini kita rasakan jumlah tu agak ramai. Kita rasa jangkaan kita pada April nanti akan bertambah lah. Sebab kita dapati di saat-saat akhir kebiasaannya pada program-program lepas makin nak habis, makin ramai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2

















































