ALOR SETAR – Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM500, tahun lalu.
Tertuduh, Lans Koperal E. Rajgunan, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai seorang Lans Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim telah memperoleh secara rasuah wang tunai RM500 daripada seorang lelaki berusia 52 tahun di hadapan sebuah kilang di Jalan Lunas, di sini kira-kira pukul 2 petang, 24 Ogos 2024.
Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lelaki terbabit yang melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin ketika prosiding menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dan memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan.
Rajgunan yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan berikutan dia perlu menanggung ibunya yang menghidap penyakit jantung, isteri serta seorang adik yang baru terlibat kemalangan.
“Saya mohon dikurangkan kerana saya mempunyai tanggungan yang tinggi dan gaji saya RM1,400. Saya dapat hadir ke mahkamah ini dengan RM3,000 sahaja,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan tersebut, manakala sebutan semula kes pada 15 Mei depan. – KOSMO! ONLINE