SHAH ALAM – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai menjalankan aktiviti sebagai doktor tidak bertauliah dalam operasi khas di sekitar Subang Bestari dekat sini, kelmarin.
Operasi bermula pukul 11.52 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan awal mendapati lelaki warga Pakistan itu tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
Katanya, tangkapan tersebut merupakan kes keempat sejak 2024 yang dikesan membabitkan warga asing yang dipercayai menyamar atau menjalankan aktiviti sebagai doktor tidak bertauliah di negara ini.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah premis klinik swasta untuk menjalankan aktiviti perubatan secara tidak sah.
“Klinik tersebut juga dipercayai dikendalikan oleh seorang warga asing yang tidak mempunyai kebenaran sah untuk bekerja dalam sektor perubatan di negara ini, manakala suspek dipercayai diambil bekerja oleh individu berkenaan bagi menjalankan tugas sebagai doktor tidak bertauliah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, bagi mengaburi pihak berkuasa serta meyakinkan pesakit, klinik berkenaan dipercayai menggunakan dokumen Perakuan Amalan Tahunan (APC) dan kelayakan perubatan milik individu lain.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati klinik itu dipercayai mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) tanpa melakukan penilaian kesihatan dengan bayaran RM20 bagi setiap pelanggan.
“Klinik tersebut dipercayai beroperasi selama lapan bulan dan suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seorang wanita warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya, JIM turut menyita pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk peralatan perubatan, cap nama suspek, cap nama klinik, tablet, buku rekod urus niaga, dokumen APC serta dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2

















































