Kumpulan bersenjata culik 28 peserta Maulidur Rasul

17 hours ago 6

ABUJA – Kumpulan lelaki  bersenjata menyerang hendap sebuah kenderaan  membawa orang awam untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul di tengah Nigeria dan menculik 28 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, kata laporan keselamatan semalam.

“Pada petang 21 Disember, lelaki-lelaki  bersenjata menculik 28 orang  termasuk wanita dan kanak-kanak ketika mereka dalam perjalanan ke perhimpunan Maulidur Rasul berhampiran kampung Zak di daerah Bashar, negeri Plateau,” demikian menurut laporan keselamatan yang disediakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dilihat oleh AFP.

Menurutnya, polis telah melancarkan siasatan terhadap serangan itu.

Kejadian itu adalah yang terbaru dalam siri penculikan besar-besaran sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Penculikan yang berleluasa meletakkan perhatian antarabangsa yang tidak menyenangkan terhadap situasi keselamatan di Nigeria.

Penculikan semalam berlaku pada hari sama pihak berkuasa berjaya membebaskan 130 pelajar sekolah. Mereka ialah kumpulan terakhir daripada lebih 250 orang yang diculik dari sebuah sekolah berasrama Katholik di negeri Niger, sebulan lalu.

Gelombang penculikan terutamanya melibatkan ratusan pelajar sekolah mendorong PBB memberi amaran tentang ‘lonjakan kes penculikan’ di Nigeria.

Puluhan mangsa lain turut diculik dari tempat ibadat dalam serbuan berasingan.

Nigeria juga berdepan kritikan hebat Amerika Syarikat, yang mengancam campur tangan ketenteraan berhubung dakwaan  pembunuhan beramai-ramai penganut Kristian.

Kerajaan Nigeria dan penganalisis bebas bagaimanapun menepis tuduhan  Washington berikutan keganasan yang berlaku dianggap merentasi garis etnik dan agama.

Penculikan di Nigeria kebanyakannya adalah untuk mendapatkan  wang tebusan dengan  kira-kira AS$1.66 juta (RM6.7 juta) telah dibayar antara Julai 2024 hingga Jun 2025, demikian menurut laporan  SBM Intelligence iaitu firma perunding  berpangkalan di Lagos. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |