Kuartet baharu negara bidik rekod kebangsaan

7 hours ago 5

SERDANG – Kuartet 4×100 meter (m) negara memberi amaran awal bahawa rekod kebangsaan mungkin tidak akan bertahan lama selepas mencatat masa memberangsangkan 39.14 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), sebentar tadi.

Gandingan Muhammad Azeem Fahmi, Danish Iftikar Mohd. Roslee, Armin Zahryl dan Pengiran Aidil Auf Hajam tampil cemerlang untuk menghadiahkan pingat emas buat Majlis Sukan Negara (MSN), sekali gus mengatasi Malaysian University yang meraih perak dengan catatan 40.02s dan Johor di tempat ketiga menerusi masa 40.41s.

Apa yang lebih mengujakan, catatan tersebut dilakar pada penampilan pertama keempat-empat pelari itu sebagai satu pasukan, sekali gus memberikan petanda positif terhadap potensi sebenar kuartet berkenaan menjelang kejohanan lebih besar selepas ini.

Azeem menyifatkan pencapaian tersebut sebagai permulaan yang cukup baik memandangkan mereka masih belum mempunyai banyak pengalaman berlari bersama dalam acara berganti-ganti.

“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah kami berjaya menghabiskan larian. Bagi saya, catatan 39.14 saat hari ini adalah satu catatan yang sangat baik dan sangat pantas memandangkan ini kali pertama kami berlari bersama,” katanya.

Menurut pemegang rekod kebangsaan 100m itu, kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila mereka berjaya mengekalkan rentak konsisten walaupun tidak menerima cabaran sengit daripada pasukan lain sepanjang perlumbaan.

“Kalau dilihat, pasukan kami mempunyai jurang yang agak jauh dengan pasukan lain. Secara asasnya tiada persaingan yang begitu rapat, tetapi saya gembira kerana pasukan-pasukan lain tetap cuba memberi tekanan kepada kami.

“Alhamdulillah, semua pasukan yang bertanding hari ini turut memainkan peranan membantu kami mencatat masa tersebut,” ujarnya.

Lebih menarik, Azeem percaya kuartet berkenaan masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki dan mampu mencatat masa lebih pantas sekiranya terus diberi peluang beraksi bersama pada masa depan. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |