PETALING JAYA – Malaysia tidak boleh terus menanggung beban kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya secara bersendirian.
Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin berkata, negara-negara maju perlu meningkatkan kuota penempatan semula (resettlement) secara lebih adil dan konsisten.
Menurutnya, ia selaras dengan prinsip perkongsian tanggungjawab antarabangsa dalam pengurusan pelarian yang mana ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam dan rakan antarabangsa juga perlu mempertimbangkan penubuhan mekanisme pembiayaan bersama.
“Ia seperti Dana Serantau Rohingya bagi membantu negara-negara yang menanggung jumlah pelarian yang besar, termasuk Malaysia dan Bangladesh.
“Mekanisme ini akan membolehkan bantuan kewangan, pendidikan, kesihatan dan perlindungan disalurkan secara lebih tersusun dan berasaskan beban sebenar yang ditanggung,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Selain itu Azril berkata, komuniti antarabangsa tidak boleh terus menumpukan perhatian hanya kepada pengurusan kesan krisis Rohingya tanpa menangani punca utamanya.
ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menangani isu kewarganegaraan, diskriminasi sistematik dan pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar.
Negara-negara anggota pula tegasnya, perlu memperkukuh kerjasama dengan mekanisme penyiasatan dan keadilan antarabangsa yang sedang mengumpul bukti berkaitan jenayah terhadap komuniti Rohingya.
“Malaysia juga boleh memainkan peranan diplomatik untuk menyokong usaha antarabangsa yang bertujuan meningkatkan akauntabiliti Myanmar.
“Ia termasuk langkah-langkah sah di sisi undang-undang antarabangsa bagi meningkatkan kos politik dan diplomatik terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap penganiayaan tersebut.
“Penyelesaian jangka panjang hanya akan tercapai apabila Rohingya dapat kembali secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan ke Myanmar dengan jaminan kewarganegaraan, keselamatan dan hak asasi yang diiktiraf sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia juga perlu memperkukuh Program Dokumen Pendaftaran Pelarian dan sistem pengesahan identiti bagi memastikan pembezaan yang jelas antara pelarian yang melarikan diri daripada penganiayaan dan pendatang ekonomi tidak berdokumen.
Pendekatan penguatkuasaan jelasnya, perlu lebih tertumpu kepada sindiket penyeludupan manusia, pemerdagangan orang dan jenayah terancang melalui pendekatan berasaskan risiko dan risikan.
“Malaysia wajar mempertimbangkan pembangunan rangka kerja perundangan khusus bagi pengurusan pelarian bagi mengelakkan kekeliruan antara pelarian dan pendatang tanpa izin biasa.
“Dalam kerangka ini, skim permit kerja yang terhad dan bersyarat bagi pelarian yang telah disahkan identitinya boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan ekonomi tidak formal, mengurangkan eksploitasi buruh dan meningkatkan pemantauan kerajaan.
“Pada masa yang sama, akses kepada pendidikan asas bagi kanak-kanak pelarian perlu diberi perhatian bagi mengelakkan wujudnya generasi tanpa pendidikan formal yang berpotensi menimbulkan risiko sosial jangka panjang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5

















![[VIDEO] Empat maut kereta dihempap treler terbabas di Bukit Tinggi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-14-at-20.21.10.jpeg)


























