MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka melancarkan van aduan bergerak dikenali sebagai Van Star atau lebih popular dengan gelaran ‘van pisang’ bagi mempercepatkan tindakan terhadap aduan pengguna di negeri ini.
Van berkenaan akan mula beroperasi 24 jam sehari bermula Januari tahun depan, selaras dengan persediaan Melaka sebagai antara destinasi utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, Van Star (Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna) diwujudkan bagi membolehkan aduan melibatkan harga barang, bekalan serta penipuan perdagangan disiasat dan diselesaikan dengan segera.
Katanya, van tersebut akan ditempatkan di kawasan tumpuan pelancong serta lokasi panas aduan pengguna bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil di lapangan.
“Van pisang ini akan sentiasa berada di lapangan dan bergerak ke lokasi panas aduan. Ia berfungsi sebagai pejabat bergerak, dan pasukan penguat kuasa akan turun segera untuk menyelesaikan setiap aduan dalam tempoh tidak melebihi 24 jam.
“Dengan adanya van ini, pengguna boleh terus membuat aduan, menyalurkan maklumat, membayar kompaun, serta mendapatkan maklumat terkini mengenai harga dan bekalan barangan. Van ini turut menyediakan perkhidmatan timbangan semula bagi memastikan ketepatan dan keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 peringkat KPDN Melaka di sebuah pasar raya di Klebang, di sini, hari ini.
Mohd. Hazimin berkata, keberadaan van pisang itu membantu KPDN negeri untuk berada dekat dengan pengguna dan memperkukuh penguatkuasaan harga serta kualiti barangan di negeri bersejarah itu.
“Kami memberi amaran kepada pemborong dan peniaga supaya mematuhi harga yang ditetapkan kerana tanggungjawab KPDN adalah memastikan bekalan mencukupi dan harga yang adil kepada peniaga serta pengguna.
“Usaha ini dijangka dapat mengurangkan rungutan pelancong berkaitan harga mahal dan penipuan ketika berbelanja, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna untuk berbelanja secara selamat di Melaka,” ujarnya.
Tambahnya, dengan pelaksanaan van pisang, Melaka diharap menjadi contoh negeri pelancongan yang mesra pengguna dan berdaya saing menjelang TMM2026, sekali gus dikenali sebagai destinasi yang selamat, teratur dan menarik untuk dikunjungi. – KOSMO !ONLINE

12 hours ago
6
![[VIDEO] ‘Beginilah kami di hari akhir persekolahan…’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/SK-Balr.jpeg)






![[VIDEO] Adik Medina selesai jalani pembedahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/medina.jpeg)

![[VIDEO] Treler terbalik, trafik sesak 4km di Seafield](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/lori-terbalik.jpeg)




































