Komuniti Orang Asli sedia bantu kesan Jaslinda

5 hours ago 3

TAPAH – Komuniti Orang Asli di sekitar Jalan Pahang di sini menyatakan kesediaan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih sejak Ahad lalu.

Tok Batin Kampung Batu 17, Bah Ahang, 72, berkata, komuniti Orang Asli bersedia membantu operasi pencarian sekiranya diperlukan pihak berkuasa.

Katanya, bantuan itu boleh disalurkan menerusi pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai laluan dan bentuk muka bumi di kawasan pedalaman.

“Orang kampung yang mencari hasil hutan seperti rotan, petai dan buluh biasanya masuk jauh ke dalam hutan.

“Jika diminta membantu, kami boleh menggerakkan anak-anak buah untuk turut serta dalam operasi pencarian mengikut kepakaran masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pasukan Polis Hutan (kini dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq) berpandangan mangsa mampu bertahan sekiranya berjaya menemui aliran sungai yang boleh dijadikan panduan untuk keluar ke kawasan penempatan.

“Kalau dia turun dan menyusur anak sungai sampai ke sungai besar, dia pasti akan jumpa Kampung Orang Asli. Ada beberapa kampung di sekitar kaki bukit,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Batu 9, Osman Bah Ut, 55, berkata, beberapa belia Orang Asli yang mahir dengan kawasan hutan sekitar telah tampil menyatakan kesediaan untuk membantu operasi pencarian.

“Ada tapi tidak ramai. Yang mahir selok-belok hutan adalah tinggal di kampung, tapi sekarang ramai yang keluar bekerja di luar. Kalau diperlukan, kami sedia panggil anak-anak buah,” katanya.

Beliau memberitahu, masyarakat Orang Asli mempunyai pegangan bahawa setiap anggota kumpulan yang memasuki hutan perlu pulang bersama-sama sebagaimana mereka keluar secara berkumpulan.

Katanya, mereka juga tidak akan meneruskan perjalanan sekiranya terdapat rakan yang mengalami masalah kesihatan atau kecederaan sepanjang berada di dalam hutan.

“Kalau dah berjanji lima orang pergi, lima orang mesti balik. Kalau gagal, dua tiga orang (cedera) di tengah jalan, kami tak akan teruskan dan berpatah balik,” katanya.

Dalam pada itu, Tok Batin Lata Iskandar, Nazri Bah Ngok, 60, berkata, terdapat kemungkinan mangsa ditemui oleh penduduk Orang Asli yang masuk ke hutan untuk mencari hasil seperti rotan, petai dan buluh.

“Kalau mereka masuk kawasan dalam, ada peluang terserempak dengan mangsa, terutama jika dia berada berhampiran laluan yang biasa digunakan,” ujarnya.

Menurut beliau, masyarakat Orang Asli mempunyai adat dan pengetahuan tersendiri apabila memasuki kawasan hutan, khususnya di kawasan pergunungan.

Katanya, bagi kawasan seperti Gunung Batu Putih, pendaki seharusnya mendapatkan bantuan malim gunung yang terdiri daripada penduduk tempatan kerana mereka lebih arif mengenai selok-belok laluan, bentuk muka bumi dan kawasan berisiko di kawasan berkenaan.

“Bagi pendapat saya, penduduk Orang Asli Pos Musoh sesuai dijadikan malim gunung kerana mereka lebih arif selok-belok kawasan seperti lumpur, bukit dan ceruk hutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |