DALAM usaha membangunkan pelajar yang holistik dan berdaya saing, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menekankan kepentingan pendidikan kokurikulum sebagai elemen penting dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.
Pendidikan kokurikulum bukan sekadar aktiviti sampingan tetapi menjadi pelengkap kepada pengalaman pembelajaran formal di universiti. Ia menyediakan peluang kepada mahasiswa untuk membina kemahiran insaniah, memupuk nilai kepimpinan, meningkatkan kebolehpasaran serta membentuk jati diri yang teguh berdasarkan nilai Islam untuk mendepani cabaran dunia selepas bergraduasi.
UIAM percaya bahawa pendidikan yang seimbang perlu menggabungkan aspek akademik dan bukan akademik bagi melahirkan individu yang kompeten dalam semua aspek kehidupan.
Oleh itu, melalui Pusat Kokurikulum Berkredit (CCC), UIAM telah merangka lebih 100 program kokurikulum yang bertujuan melengkapkan pelajar dengan pelbagai kemahiran dan kompetensi yang relevan dengan tuntutan masyarakat dan industri.
Program ini merangkumi pelbagai bidang seperti kepimpinan, pengurusan acara, keusahawanan, pembangunan kemahiran insaniah, pemerkasaan komuniti, seni budaya dan sukan.
Selain itu, program kokurikulum ini direka untuk memberi peluang kepada pelajar mengasah kebolehan mereka dalam situasi dunia sebenar.
Pelajar didedahkan dengan aktiviti yang menggalakkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, komunikasi berkesan serta kerja berpasukan yang merupakan antara kemahiran penting dalam dunia pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.
Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan Revolusi Industri 5.0, UIAM komited untuk memastikan graduannya bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi tetapi juga berupaya untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan, mengambil inisiatif serta bertindak sebagai pemimpin yang berwibawa.
Melalui bimbingan dan latihan yang diberikan dalam program kokurikulum ini, pelajar UIAM berpeluang untuk membina rangkaian profesional sejak awal lagi. Mereka juga dapat mengembangkan nilai tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik melalui penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan, program sukarelawan dan inisiatif pembangunan lestari.
Pendekatan kokurikulum di UIAM berasaskan dua teras utama iaitu konsep Madani dan Epistemologi Tauhidik. Konsep Madani yang diketengahkan berteraskan nilai-nilai inklusiviti, kasih sayang dan kesejahteraan sosial yang menekankan keperluan membentuk masyarakat yang adil dan bertanggungjawab. Konsep ini seiring dengan pemikiran Ibn Khaldun yang melihat tamadun berkembang apabila individu dididik bukan sahaja dari segi intelektual dan profesional, tetapi juga dari segi sosial dan etika.
Contohnya, dalam konteks semasa, UIAM melaksanakan program komuniti seperti Misi Asnaf Jalanan yang memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang tenaga dalam menyediakan makanan dan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.
Selain itu, mahasiswa UIAM juga melibatkan diri dalam usaha memberi sokongan emosi dan kaunseling kepada komuniti yang terkesan dengan bencana atau cabaran kehidupan menerusi program IIUM Psychosocial Support Programme.
Konsep Epistemologi Tauhidik pula menekankan penyatuan ilmu dalam kerangka tauhid yang menghubungkan aspek spiritual, intelektual dan etika dalam proses pembelajaran. Pendekatan ini yang diperkukuh dengan gagasan Tauhidisasi oleh Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar memastikan bahawa semua aspek pendidikan, termasuk akademik dan kokurikulum disepadukan dalam satu sistem yang berpaksikan nilai Islam.
Pensyarah dan pengajar memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu dan kemahiran, tetapi juga sebagai pembimbing moral yang menanamkan nilai-nilai Islam dalam kepimpinan, kerja berpasukan, keusahawanan dan membuat keputusan.
UIAM mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam melahirkan tenaga pengajar yang kompeten dan berdaya saing dengan melantik tenaga pengajar dalam kalangan profesional industri. Dengan cara ini, para pelajar dapat memperoleh pendedahan langsung terhadap amalan terbaik dalam bidang pekerjaan, seterusnya menghubungkan pembelajaran teori dengan realiti di lapangan.
Program kokurikulum di UIAM bertujuan untuk membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak dan bertanggungjawab kepada masyarakat. Tiga nilai utama yang diterapkan dalam program ini ialah Iman, Ilmu dan Ihsan.
Perkembangan dan keperluan untuk memenuhi aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi pengajaran dan pembelajaran kokurikulum berkredit ini didokong oleh Majlis Kokurikulum Universiti Awam (UniCC) yang memainkan peranan penting dalam menyelaras program kokurikulum di seluruh institusi pengajian tinggi, termasuk UIAM.
Dengan bimbingan KPT, UniCC berperanan dalam memastikan program kokurikulum memenuhi keperluan kebangsaan serta sejajar dengan dasar pendidikan negara. UniCC juga berfungsi untuk memperkukuh kerjasama antara universiti bagi berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan sahsiah mahasiswa.
Dengan menanamkan nilai-nilai ini dalam program kokurikulum, UIAM bukan sahaja melahirkan mahasiswa yang berkemahiran tinggi tetapi juga individu yang mempunyai integriti, kesedaran sosial dan tanggungjawab moral yang tinggi.
Melalui pendidikan yang berasaskan nilai Islam ini, mahasiswa dilatih untuk menjadi pemimpin yang berakhlak, bertanggungjawab serta berupaya membawa perubahan positif kepada masyarakat dan dunia secara keseluruhannya.
UIAM juga percaya bahawa kejayaan mahasiswa bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga sejauh mana mereka bersedia untuk berperanan sebagai pemimpin masa hadapan yang berakhlak dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Sehubungan itu, CCC memastikan program kokurikulum di UIAM sejajar dengan tujuh teras kemahiran yang digariskan oleh KPT.
Ini termasuk kemahiran berkomunikasi bagi meningkatkan kebolehan mahasiswa dalam menyampaikan idea dengan jelas dan berkesan serta kemahiran berfikir kritis dan penyelesaian masalah yang membantu mereka dalam menganalisis isu serta membuat keputusan yang tepat.
Selain itu, kemahiran kerja berpasukan digalakkan bagi membangunkan empati dan keupayaan bekerjasama dalam pelbagai latar belakang budaya dan disiplin.
Kemahiran keusahawanan turut dipupuk bagi menggalakkan daya inovasi dan kreativiti mahasiswa dalam membangunkan inisiatif perniagaan serta mendorong sikap berdikari dan keberanian mengambil risiko.
Dalam aspek etika dan profesionalisme, UIAM menanamkan nilai integriti, amanah, dan tanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan profesional dan sosial mahasiswa.
SHAHRIZAD SA-IDUL HAJ merupakan Pengarah Pusat Kokurikulum Berkredit UIAM