KUALA LUMPUR – Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan menyifatkan penyertaan kuartet baharu 4×100 meter (m) lelaki negara dalam Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025 sebagai langkah positif meskipun sekadar meraih tempat ketiga.
Kuartet yang dibarisi Khairul Hafiz bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Zulfiqar Ismail mencatat masa 40.55 saat (s), sekaligus menamatkan saingan di belakang dua pasukan elit dari Jerman.
Pasukan Jerman A yang diketuai Kevin Kranz, Owen Ansah, Yannick Wolf dan Lucas Ansah-Peprah mendominasi perlumbaan dengan masa 38.26s, diikuti Jerman B (38.84s) yang dibarisi Julian Wagner, Alexandar Askovic, Chdiera Onuoha, Heiko Gussmann dengan catatan masa 38.84s
Khairul Hafiz berkata, meskipun barisan pelari negara baharu pertama kali digandingkan dalam kejohanan berprestij itu, mereka berjaya menunjukkan keserasian yang baik sepanjang perlumbaan.

“Sudah tentu kita mengharapkan gandingan ini dapat memberikan yang terbaik menjelang Sukan SEA nanti. Kita mahu kekalkan momentum dan mempertahankan pingat yang dimenangi sebelum ini.
“Dengan adanya Azeem (Muhammad Azeem Mohd. Fahmi) bersama kami, kita ada lima pelari utama. Ini penting bagi memastikan pasukan kekal kukuh jika berlaku kecederaan,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan di Stadium Merdeka, hari ini.
Bagaimanapun, Khairul Hafizh mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki termasuk teknik larian dan pertukaran baton terutama menjelang Kejohanan Olahraga Asia ke-26 yang bakal berlangsung di Korea Selatan hujung bulan ini.
“Saya anggap ini pengalaman berharga buat kami. Dari segi teknikal, banyak lagi perlu diperhalusi kerana ini kejohanan pertama kami digandingkan. Kami hanya sempat berlatih selama dua minggu sebelum kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, skuad wanita negara yang terdiri daripada Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkipli, Nur Afrina Batrisyia dan Izzatul Musfirah Ahmad Kama mencatat keputusan membanggakan apabila meraih pingat perak dalam acara 4x100m dengan catatan 45.50s selepas tewas kepada kuartet Jerman B yang merekodkan 43.43s.
Tempat ketiga diraih pasukan Kuala Selangor dengan catatan masa 58.61s. -KOSMO! ONLINE