PETALING JAYA – Kegiatan licik sindiket pelacuran dan eksploitasi seks berselindung di sebalik pusat spa dan urut akhirnya terbongkar apabila Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan operasi sindiket itu dalam satu serbuan besar-besaran di sebuah premis di Johor Bahru, semalam.
Lebih mengejutkan, siasatan awal mendapati 10 mangsa wanita warga asing termasuk berusia bawah umur dipercayai dieksploitasi sebagai pelacur selepas diperdaya dengan tawaran kerja palsu sebelum dikurung dan dipaksa melayani pelanggan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata serbuan pada pukul 3.15 petang, dibuat hasil risikan dan aduan awam oleh Bahagian Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Katanya, operasi yang disertai 58 pegawai pelbagai pangkat itu turut dibantu oleh anggota JIM Johor dan Negeri Sembilan.
“Sebanyak 53 wanita warga asing iaitu 37 dari Vietnam dan 16 dari Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun ditahan, dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran.
“Mereka menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan khas melalui aplikasi WeChat dan WhatsApp, dengan bayaran antara RM200 hingga RM300 sejam, bergantung kepada pakej dan tempoh perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, turut ditahan 11 lelaki warga asing dari Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja am, selain tujuh lelaki tempatan disyaki sebagai kapten, penjaga dan pemilik premis berkenaan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati wanita-wanita itu bersembunyi dalam sebuah bilik rahsia dipercayai disediakan khusus bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Sewaktu serbuan, beberapa wanita dikesan sedang melayani pelanggan warga tempatan dan pelancong asing.
“Kami turut menemui wang tunai berjumlah RM128,464 dipercayai hasil aktiviti tidak bermoral tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, hasil siasatan awal mengikut panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0) mendapati 10 wanita iaitu enam dari Vietnam dan empat dari Indonesia dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
“Mereka dipercayai dipaksa bekerja tanpa bayaran, pasport dirampas dan pergerakan dikawal sepenuhnya,” katanya.
Zakaria berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670), manakala tahanan lain pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
“Mereka yang menjadi ‘kapten’ turut disiasat bawah Seksyen 12 Akta ATIPSOM, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport dan Seksyen 55B Akta Imigresen,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE