KUALA LUMPUR – Pelari muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencuri tumpuan pada Kejohanan Olahraga Super Series 2025 apabila bergelar raja pecut selepas menjuarai acara 100 meter (m) di Stadium Merdeka, hari ini.
Danish yang mewakili Sukma Johor berjaya menamatkan saingan dengan catatan 10.57 saat (s) untuk mengatasi saingan sengit daripada tiga pelari kebangsaan iaitu Jonathan Nyepa (10.66s), Khairul Hafiz Jantan (10.743s) dan Muhammad Zulfiqar Ismail (10.81s).
Pelari berusia 18 tahun tersebut mengakui bahawa dia tidak meletakkan harapan cukup tinggi memandangkan dia sedar akan berdepan tentangan sengit dari pelari senior.
“Saya hanya buat yang terbaik kerana ini adalah catatan terpantas dan saya sudah melakukan yang terbaik. Ini adalah musim terbaik saya.
“Alhamdulillah, secara keseluruhan saya sangat puas hati. Tapi insya-Allah saya akan cuba buat lebih baik,” kata Danish selepas tamat saingan hari ini.
Dalam pada itu, Danish menyifatkan saingan kali ini cukup sengit, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan tiga nama besar pecut negara.
“Zulfikar, Khairul dan Jonathan mereka semua adalah abang-abang saya. Jadi, saingan pasti sengit dan saya sangat hargai persaingan itu,” katanya.
Sementara itu, atlet pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli mengekalkan status sebagai ratu pecut terbaik apabila berjaya mempertahankan acara 100m.
Pada saingan tersebut, pelari berusia 32 tersebut berjaya mencatat masa 11.72s sekali gus mengatasi dua pelari negara lain.
“Saya sangat bersyukur dengan catatan 11.72s, bagi saya itu sudah cukup menggembirakan kerana ia merupakan rekod terbaik saya untuk permulaan musim ini,” ujarnya selepas perlumbaan.
Tempat kedua menyaksikan Nur Aishah Rofina Aling dari Kesatuan Olahraga Sabah dengan catatan 11.80s manakala carta ketiga menjadi milik Azreen Nabila Alias dari pasukan kebangsaan 11.83s. -KOSMO! ONLINE