SME Corp. buka pejabat baharu di Sabah

13 hours ago 7

PETALING JAYA – Penduduk Sabah kini boleh mengakses maklumat terkini berkaitan keusahawanan dan perniagaan secara fizikal dengan lebih mudah di Pejabat Baharu SME Corp. Malaysia dan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, hab PMKS itu merupakan pusat maklumat sehenti bagi PMKS untuk memperoleh pengetahuan mengenai perniagaan, mempelajari amalan terbaik perniagaan serta mendapatkan maklumat penting mengenai permulaan perniagaan.

Selain itu katanya, hab tersebut juga menyediakan akses kepada pasaran, pembangunan modal insan, sumber kewangan, perkembangan terkini industri dan pelbagai aspek perniagaan yang lain.

“Hab ini menyediakan kaunter informasi, kiosk maklumat dengan akses internet, dewan bagi taklimat dan kursus keusahawanan serta ruang untuk PMKS mempamerkan produk dan perkhidmatan.

“Dengan keluasan keseluruhan 4,500 kaki persegi dan lokasi strategik di Donggongon Square, Hab PMKS Sabah menawarkan akses mudah kepada pengangkutan awam selain turut berhampiran dengan agensi lain seperti Bank Rakyat dan Tekun Nasional,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian hab PMKS berkenaan di Donggongon Square, Penampang, Sabah hari ini.

Beliau berkata, turut dilancarkan ialah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus yang diteruskan pelaksanaannya pada tahun ini untuk perusahaan mikro di Sabah dan Sarawak terutamanya Bumiputera asal.

“BEEP Plus menawarkan bantuan geran padanan sehingga 70 peratus kos projek atau sehingga maksimum RM250,000 bagi perbelanjaan seperti penambahbaikan pembungkusan produk, perolehan mesin dan peralatan, penerapan ICT & eDagang, sewaan dan pengubahsuaian premis perniagaan serta pelaksanaan aktiviti promosi untuk meningkatkan jualan dan penjenamaan,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis yang sama, Ewon juga telah menyampaikan mock-cheque berjumlah RM841,099.97 kepada 15 penerima bantuan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di Sabah serta Anugerah Peserta Terbaik dan Rancangan Perniagaan Terbaik Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 bagi Negeri Sabah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |