Persiapan penginapan jemaah 90 peratus sempurna

16 hours ago 7

MEKAH – Persiapan di setiap bangunan penginapan jemaah haji hampir 90 peratus sempurna bagi menerima kehadiran kumpulan pertama dhuyufurrahman yang akan mula bergerak ke Mekah dari Madinah hari ini.

Pengarah Operasi Maktab Mekah, Mohd. Fahmi Kamarudin berkata, kumpulan pertama tersebut yang dijangka tiba pada pukul 5 petang Ahad akan menginap di hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini.

“Bagi persiapan pembukaan maktab di Mekah pada tahun ini merangkumi 72 petugas di pusat perkhidmatan yang bakal menyantuni seramai 22,000 jemaah haji.

“Alhamdulillah setakat ini, persediaan di setiap bangunan penginapan jemaah haji telah hampir 90 peratus siap,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Beliau berkata, setakat kelmarin seramai 38 petugas haji telah selamat tiba daripada jumlah keseluruhan petugas yang bakal menyantuni jemaah di sektor maktab.

“Sebaik jemaah-jemaah itu tiba di bangunan penginapan, perkara pertama yang perlu diselesaikan atau dilaksanakan oleh jemaah haji adalah umrah pertama.

“Ibadah ini akan dibimbing oleh pembimbing ibadat haji Tanah Suci dan dipantau secara komprehensif oleh pasukan operasi maktab di bangunan penginapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, ibadah umrah jemaah tersebut juga akan dipantau pasukan peronda di kawasan persekitaran Masjidil Haram.

Ujar beliau, pada tahun ini lebih banyak penambahbaikan yang diberikan oleh operasi maktab kepada jemaah haji terutamanya dari segi penginapan jemaah itu sendiri.

“Banyak yang telah dinaik taraf seperti bangunan baharu kita yang bakal dihuni bakal jemaah haji iaitu di Abraj Al Tayseer yang terletak di Zon B bangunan penginapan jemaah haji di Mekah.

“Anggaran jemaah yang bakal menghuni di Abraj Al Tayseer adalah seramai 6,700 orang. Bangunan ini terletak kira-kira satu kilometer ke Masjidil Haram,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |