PEMAIN tempatan wajar untuk mencari pekerjaan lain dan tidak lagi terlalu bergantung kepada bola sepak sebagai punca mata pencarian utama memandangkan industri ini dilihat semakin rosak.
Mengambil kira situasi dan isu semasa yang berlaku dalam industri bola sepak tanah air, ia menjurus kepada perkembangan negatif, malah tidak mampu untuk menjadikan sukan ini semakin berkembang.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pemain adalah pihak terkesan dan mereka wajar menjadikan masa depan sebagai perkiraan utama sebelum membuat sebarang keputusan.
“Yang terkesan daripada keadaan ini adalah pemain kerana mereka cari makan dengan bola sepak. Tidak ada guna kalau fizikal mereka cergas tetapi mental tidak untuk bermain dengan baik.
“Memang kena cari kerja lain kerana bola sepak tidak lagi boleh dijadikan jaminan. Pemain kena fikir masa depan, jangan anggap bola sepak sebagai punca pencarian utama kerana umur mereka pun makin naik.
“Kalau mereka yang mahu berkahwin dan sudah ada anak, bagaimana mahu tampung segala perbelanjaan? Kebanyakan mereka bukan Arif Aiman Hanapi yang akan ada orang beratur untuk ambil.
“Cuba dapatkan kerja yang lebih terjamin tetapi kalau masih boleh bermain bola sepak dan diberikan elaun, itu adalah bonus bagi mereka,” katanya.
Ketika ini Liga Malaysia (Liga M) sudah hilang seri selepas ketiadaan beberapa pasukan yang begitu sinonim dengan pertandingan domestik seperti Sarawak, Kelantan dan terbaharu Perak FC sah menarik diri daripada saingan musim depan.
Kedudukan sebenar Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC yang baharu muncul naib juara Piala Malaysia masih lagi samar, sama ada terus kekal dalam saingan Liga M atau pun sebaliknya.
Kelmarin, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjelaskan keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) melanjutkan tarikh akhir permohonan Lesen Kebangsaan kepada 10 Mei ini adalah berdasarkan peruntukan termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025.