Abang ipar pelakon Riezman Khuzaimi maut di Gunung Rinjani

3 hours ago 3

PETALING JAYA – “Satu tragedi yang amat memilukan.”

Demikian luahan isteri kepada pelakon Riezman Khuzaimi, Allahyarham Datuk Azie Sheikh Mohd. selepas abang kandungnya disahkan meninggal dunia akibat terjatuh ketika mendaki di laluan Toren, Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, semalam.

“Hari ini hati saya luluh mendapat berita abang kandung yang baru saya temui enam tahun lepas, kini telah pergi buat selamanya,” katanya.

Lebih menyentuh hati apabila Azie hanya sempat mengenali arwah enam tahun lalu selepas terpisah sejak kecil akibat perbezaan keluarga.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Pertemuan, ajal dan maut itu kuasa Allah S.W.T.

“Kami dilahirkan berlainan mak tapi satu bapak. Tidak pernah ditemukan sejak kecil, tapi alhamdulillah Allah menemukan juga kami 10 adik-beradik kandung.

“Kami sedang merangkai ikatan sebagai adik-beradik, tapi Allah lebih menyayanginya,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Tambahnya, sifat penyayang arwah yang sentiasa mengambil berat tentang adik-beradik meskipun hubungan baru terjalin membuatkan dia rindu akan abang kandungnya itu.

“Abang, terima kasih kerana hadir walau sekejap dalam hidup ini. Saya akan rindu jenaka abang yang kadang bukan pun jenaka tetapi itu cara abang bertanya khabar semua adik-beradik.

“Terima kasih kerana menjadi abang terbaik yang pernah saya ada. Saya akan sentiasa merindui abang,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pendaki warga Malaysia dilaporkan terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat sekitar 12 tengah hari waktu tempatan, menurut pihak berkuasa taman negara.

Pihak taman negara menjelaskan pendaki, yang dikenali dengan inisial RAG, dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang juru pandu dari agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |