SABAK BERNAM – Penggunaan baja premium 5 akan diperkenalkan kepada pesawah di Selangor bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Baja tersebut dibangunkan menggunakan teknologi Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence (BASE).
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, penggunaan baja ini telah melalui projek rintis melibatkan pesawah di Sungai Leman sejak Julai tahun lalu.
Katanya, ia ternyata berjaya apabila menunjukkan potensi cemerlang dengan pengeluaran hasil melebih enam tan hingga 12 tan.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang kepada mana-mana syarikat membuktikan kejayaan produk masing-masing dalam membantu pesawah.
“Projek rintis di Sungai Leman menunjukkan kejayaan dan akan diperluas kepada pesawah lain. Pengeluaran hasil bukan sahaja bergantung teknologi dan peralatan sahaja tetapi disiplin,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan teknologi BASE hari ini.
Beliau memaklumkan, pengeluaran padi tempatan pula didapati semakin rendah dengan rata-rata kira-kira tiga tan sehektar.
“Itu tak cukup untuk menampung permintaan beras tempatan. Malah, laporan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), kita kehilangan sekurang-kurangnya 200 tan daripada 1,000 tan padi yang diproses dari sawah dan di kilang,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Briar Resources Sdn. Bhd., Datuk Seri Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail berkata, kajian selama sembilan tahun baja premium 5 itu bertujuan membantu pesawah sekali gus mengurangkan kebergantungan beras import.
Ujarnya, penggunaan juga terbukti apabila membantu penghasilan padi melebihi purata empat tan per hektar pengeluaran padi nasional.
“Produk ini fleksibel dan sesuai untuk semua jenis tanah selain dapat mengurangkan pertumbuhan rumput dan pesawah tidak perlu membaja banyak kali walaupun kawasan tanaman dinaiki air,” katanya. – KOSMO! ONLINE