Bekas rakan sepasukan simpati nasib Hamilton

3 hours ago 2

MIAMI – Pelumba utama Mercedes, George Russell mengakui situasi sedang dihadapi bekas rakan sepasukannya, Lewis Hamilton bersama Ferrari musim ini adalah sesuatu yang tidak ‘seronok’ untuk dilihat.

Russell memberi sokongan padu kepada Hamilton kerana amat menyedari kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan jentera serta pasukan baharu dalam Formula Satu (F1) biarpun berpengalaman luas sebagai juara dunia.

Hamilton, 40, yang bergandingan dengan Russell di Mercedes dari 2022 hingga 2024, dilihat masih lagi tercari-cari rentak bersama Ferrari walaupun pernah mencatat kemenangan dalam perlumbaan sprint di Grand Prix (GP) China pada Mac lalu.

Namun, secara keseluruhannya, juara dunia tujuh kali itu masih ketinggalan di belakang rakan sepasukan di Ferrari, Charles Leclerc.

“Dia seorang juara dan pemenang. Sekarang dia berada di posisi yang tak membolehkannya menang dan itu bukanlah perkara mudah untuk diterima.

“Kalau dia senyum sepanjang masa, kita sendiri akan tertanya-tanya kenapa dia boleh tersenyum. Sebab bagi dia, ini bukan soal duit. Ini soal keputusan perlumbaan dan sekarang ini, ia belum menjadi. Namun, saya yakin Hamilton mampu melakukannya,” kata Russell.

Hamilton sebelum ini menyifatkan musim 2025 sebagai ‘menyakitkan’ selepas menamatkan perlumbaan GP Arab Saudi di tempat ketujuh, 31 saat di belakang Leclerc yang berada di tempat ketiga.

Ketika ini, Hamilton berada di tangga ketujuh, ketinggalan 16 mata di belakang Leclerc di tempat kelima dalam carta keseluruhan pelumba.

Namun, Russell mempertahankan bekas juara itu sambil menyifatkan ramai yang meremehkan betapa mencabarnya dunia F1 terutamanya apabila seseorang pelumba beralih pasukan.

“Kadang-kadang anda boleh masuk dalam kereta terus rasa serasi. Lihat saja betapa sukarnya pelumba kedua di Red Bull, tak pernah stabil.

“F1 bukan mudah. Charles (Leclerc) pula memang hebat dan telah bersama pasukan itu sepanjang kariernya,” tambah Russell. -AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |