Kepulangan Eda Ezrin tertangguh, pendakwa raya fail rayuan kali kedua

18 hours ago 7

NARATHIWAT, THAILAND – Impian penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan untuk dibebaskan masih belum kesampaian apabila mereka perlu menjalani tempoh tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat selama sebulan lagi.

Ini selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan rayuan pihak pendakwa raya untuk melanjutkan reman terhadap Eda Ezrin atau nama lengkapnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, serta lima yang lain semalam.

Mengikut rekod, ini rayuan kedua pihak pendakwaan untuk menyiasat kes penyanyi Kelantan itu bersama suami dan empat rakannya selepas dibebaskan atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok, 6 Mac lalu.

Memetik laporan portal berita apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya yang dibuat pagi semalam.

Permohonan pertama bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sepatutnya tamat pada Selasa depan.

“Bagaimanapun, pendakwa raya mengemukakan permohonan kedua melanjutkan tempoh memfailkan rayuan pagi semalam. Tempoh lanjutan kedua itu selama sebulan dan akan berakhir pada 6 Jun ini.

“Pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan kali ketiga iaitu rayuan terakhir apabila tamat tempoh 6 Julai ini sebelum memfailkan rayuan rasmi,” katanya.

Jurucakap itu memberitahu, pendakwa raya memfailkan rayuan untuk melanjutkan tahanan reman kerana masih berusaha mengumpul bukti dan saksi baharu untuk proses rayuan seterusnya.

Keputusan itu menyebabkan Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, akan menjalani prosiding perbicaraan sekali lagi di Mahkamah Rayuan Narathiwat apabila mahkamah membenarkan rayuan tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda bersama suami dan empat rakan dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Mereka dipenjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.

Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan baik di penjara sepanjang tempoh reman.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dalam jumlah sama selepas mengaku salah atas tuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.

Mereka juga tidak perlu membayar denda kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat.

Salah seorang peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz berkata, enam anak guamnya masih perlu berada dalam penjara untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan.

Menurutnya, ini berikutan mereka perlu menunggu sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah pada 6 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |