Rujuk sumber rasmi TH untuk maklumat tepat, terkini haji

20 hours ago 8

MEKAH – Orang ramai terutama jemaah haji Malaysia dinasihatkan agar merujuk saluran rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) serta tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang tersebar di media sosial.

Pengarah Operasi Media TH, Mohamad Naser Jaafar berkata, adalah penting untuk jemaah haji menerima maklumat yang tepat dan terkini berkaitan pergerakan serta operasi haji sepanjang musim 1446H/2025M ini.

“Memandangkan ketika ini terdapat pelbagai platform media sosial, rakyat Malaysia terutama jemaah haji disarankan untuk hanya mengikuti saluran media diiktiraf bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Naser turut mengakui kepentingan peranan media arus perdana yang menjadi keutamaan kepada laporan pergerakan jemaah haji tahun ini.

Selain Kosmo!, tujuh agensi lain seperti RTM, Bernama, TV Alhijrah, Astro Awani, Sinar Harian, The Star dan radio Cats FM bertindak membawakan laporan terkini jemaah haji dari Tanah Suci.

Dalam pada itu, mengulas mengenai liputan operasi haji tahun ini, Mohamad Naser berkata, maklumat terkini akan sentiasa disampaikan oleh TH meliputi pergerakan jemaah, ibadah, bimbingan, logistik serta aspek kesihatan dan keselamatan sepanjang musim haji.

“Operasi liputan media tahun ini merangkumi perjalanan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci termasuk laporan ketika jemaah berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina.

“Kemuncak liputan adalah pada hari 9 Zulhijjah atau jatuh pada 5 Jun depan. Setelah selesai keseluruhan manasik pelaksanaan haji, tumpuan seterusnya berkaitan pergerakan pulang jemaah ke tanah air,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, pasukan media TH tahun ini yang terdiri daripada 19 petugas termasuk 14 pengamal media daripada lapan agensi TV, surat khabar dan radio selesai menunaikan ibadah umrah pada Selasa lalu.

“Terdapat petugas media TH yang pertama kali menunaikan umrah dan ini ternyata memberikan satu pengalaman yang sangat bermakna,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |